Sunday 21 December 2014

KANAK-KANAK ISLAM YANG MENGGEMPARKAN DUNIA

Semestinya impian setiap ibu bapa dalam dunia ini mahukan anak yang sihat tubuh badan, mampu menjadi anak soleh/solehah, dan anak yang baik. Perkara ini sememangnya tidak mustahil kerana terdapat surah-surah di dalam Al-Quran yang boleh dibaca oleh ibu bapa semasa anak dalam kandungan dan juga ketika ini terdapat teori-teori tentang amalan untuk ibu mengandung bagi mendapatkan anak yang baik. 

Allah S.W.T maha berkuasa keatas manusia bahkan seluruh makhluk dan hidupan diatas muka bumi ini. Ini terbukti apabila lima kanak-kanak yang ini berjaya menggemparkan dunia. Siapakah mereka sebenarnya?

Berikut 5 Anak Ajaib Islam Yang Mengemparkan Dunia:

1. Akrit Jaswal

 
Akrit Jaswal yang mempunyai IQ 146 (manusia terpintar di India) sejak berusia 7 tahun ia sudah mampu melakukan operasi pembedahan secara otodidak

2. Sayyid Muhammad Husein Tabataba’i

 
Sayyid Muhammad Hussein Tabataba’i seorang kanak-kanak yang sudah berjaya menghafal surat-surat dalam Al-Qur’an dan mampu menafsirkannya. Beliau juga telah menerima gelaran Doktor di usia tujuh tahun di Hijaz Collage Islamic University di UK.

3. Abdurrahman Farih

 
Di bumi Aljazair, ada anak genius yang berusia tiga tahun bernama Abdurrahman Farih mampu menghafal Al Quran hanya mendengar orang lain membaca Al Quran sejak ia masih di dalam kandungan ibunya.

4. Ali Yakubov

 
Di Rusia kemunculan ayat-ayat ‘Al Quran” di sekitar tubuh bayi yang berusia sembilan bulan bernama Ali Yakubov, telah membuat 2000 orang Muslim dari kawasan utara Rusia mendatangi untuk melihatnya.

5. Syarifuddin Khalifah


Pada usia satu setengah tahun, beliau sudah mampu menghafal Al-Quran dan juga mampu mendirikan solat lima waktu. Beliau yang dimaksudkan adalah Syarifuddin Khalifah, seorang anak ajaib, lahir di Arusha, di bahagian utara Tanzania (sebuah negara di Afrika Timur). Apa yang lebih mengejutkan apabila dia bukanlah seorang anak dari ibubapa yang beragama Islam. Beliau telah mengislamkan lebih dari ribuan orang.

Dipetik dari http://terbuantanah.blogspot.com/

Wednesday 17 December 2014

ILMU PERNIAGAAN DARI KANAK-KANAK

Orang dewasa sepatutnya memahami erti dunia kanak-kanak agar dapat menghasilkan banyak idea. Tidak percaya? Kisah dua orang kanak-kanak ini, Toby Little (5 tahun) dan Dylan Siegel (7 tahun) yang pernah menggemparkan dunia maya kerana aksi mereka.
Kisah pertama adalah Toby. Dia menulis sepucuk surat kepada 200 penduduk di dunia dari pelbagai negara. Berikut adalah salah satu petikan suratnya;
“Hi, nama saya Toby dan saya berumur 5 tahun. Saya ingin mengetahui banyak perkara tentang dunia, jadi saya menulis kepada seseorang di setiap negara di dunia, dan berharap mendapatkan balasannya. Ini sangat sukar, tetapi ramai yang membantu saya, terima kasih! Saya ingin tahu tentang kehidupan orang lain, apa makanan yang mereka makan, dan bagaimana kehidupan di sekolah.”
Dari jumlah 200 surat, Toby dikatakan mendapat 70 balasan. Dia kemudian mengetahui bahawa beberapa negara mengalami masa yang sukar, tidak seperti di tempat tinggalnya di Sheffield, England. Hal itu lalu menggerakkan hatinya untuk mengumpulkan wang melalui laman web Just Giving. Dia berjaya mengumpulkan wang hingga sebanyak US$ 2,400.
Lain kisahnya dengan Dylan. Walaupun baru berusia 7 tahun, dia berfikiran kreatif dan mempunyai inisiatif untuk mengarang sebuah buku berjudul “Chocolate Bar”. Ajaibnya, buku tersebut ternyata laris, dan Dylan berjaya mendapatkan wang lebih dari US$ 400,000. ABC News sempat membuat liputan berita tersebut merasa kagum dengan frasa yang digunakan. Bukan sahaja demikian, Dylan dikatakan memberi inspirasi, kerana penjualan buku Chocolate Bar didedikasikan untuk temannya yang menderita penyakit hati.
Itu hanya dua daripada berbagai kisah kanak-kanak yang perlu dicontohi. Dengan mendalami kisah tersebut,anda mempelajari 3 perkara penting yang boleh diaplikasikan.
1. Banyak idea besar muncul dari hal kecil
Sebagai contohnya fenomena ‘bertentangan’ yang sering dialami oleh kebanyakan orang. Misalnya ketika diminta untuk memberikan idea besar, ramai yang menjadi runsing dan tidak tahu apa yang harus dikatakan.
Manakala banyak idea sederhana yang kerap diremehkan. Kedua kanak-kanak di atas mengajar kita bahawa sekecil atau sesederhana mana pun hal yang anda lakukan, akan selalu ada ruang untuk mengembangkannya.
2. Mulakan dengan niat yang baik
Beberapa projek selalu menekankan hal–hal yang bersifat menekankan ‘keuntungan peribadi’, misalnya untuk menambah jumlah penjualan, meningkatkan kesedaran, menambah jumlah page views, atau meraih sebanyak mungkin pelanggan.
Kisah Toby dan Dylan membuka mata kita akan bagaimana niat baik akan menyentuh hati orang lain untuk terlibat dengan sukarela.
3. Hidup di dunia jenama anda sendiri
Kadangkala pengusaha bisnes melakukan kesalahan kerana terlalu memerhatikan pesaingnya. Hasilnya, jenamanya terikut-ikut dengan dunia pesaing tersebut, dan membuatkannya kehilangan identiti yang sebenarnya. Padahal, walaupun anda berada dalam bidang bisnes yang sama, dunia setiap industri adalah berbeza.
Cuba amati lagi kisah surat dari Toby kepada dunia dan buku “Chocolate Bar” karya Dylan. Jika mereka berdua adalah jenama, apakah yang menjadikan mereka berjaya?
Ini kerana kedua-duanya memiliki tujuan yang jelas, falsafah yang tegar, pendekatan yang unik, serta mereka menjalankannya dengan cara dan gaya dunia mereka (dunia kanak-kanak).

Sunday 14 December 2014

Tanah Rizab Melayu: Angan-angan atau realiti

TAJUK tulisan ini mungkin agak sedikit provokatif, namun dalam lanjutan tulisan ini, ia akan menjelaskan kenapa tulisan ini diberi tajuk sedemikian. Sebelum pergi dengan lebih lanjut, amatlah baik untuk menelusuri semula antara kandungan “Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu” yang diisytiharkan pada 5 Ogos 1957. Antara lain kandungannya menyebut;

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, hasil dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”

Satu wasiat yang sangat utuh selain indah untuk dihayati oleh generasi muda hari ini, khususnya orang Melayu sendiri dewasa ini. Namun, yang berlaku selepas puluhan tahun di Malaysia, tanah rizab Melayu ini makin hilang dan dirampas oleh pihak kapitalis yang angkuh, sehingga hari ini hanya tinggal 12 peratus sahaja. Satu kajian yang dikeluarkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyebut kumpulan tanah rizab Melayu yang tinggal hanya 12 peratus. Jumlah ini hanya sebahagian daripada 12.9 juta hektar tanah daripada keseluruhan Semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang.

Bagaimana pula dengan nasib kampung-kampung warisan Melayu? Nasib yang sama juga menimpa mereka. Kampung Chubadak di Kuala Lumpur, Kampung Matau di Jengka Pahang, Kampung Banggol Donas di Kuala Nerus Terengganu, Kampung Puah Seberang di Kuala Lumpur, Kampung Chetti di Melaka dan lain-lain kampung warisan yang tidak disebutkan, kesemua kampung ini menjadi jamuan yang menyelerakan bagi pihak kapitalis yang lapar mengejar keuntungan tanpa memikirkan nasib para penduduk kampung yang telah menghuni kampung warisan tersebut puluhan tahun.

Sebagai contoh, dalam isu Kampung Chubadak di Kuala Lumpur, para penduduknya digelar setinggan oleh pihak pemaju sedangkan para penghuninya memiliki “Lesen Menduduki Beserta Ekuiti” (Licensees Coupled With Equity). Nasib 160 keluarga yang tinggal di sana menjadi  taruhan apabila jentolak meranapkan rumah-rumah mereka malah ada yang ditangkap dan diheret ke balai polis kerana mempertahan kampung mereka tempoh hari lalu. 200 keluarga di Kampung Matau Jengka Pahang juga menjadi mangsa apabila rumah mereka diranapkan oleh pihak Majlis Daerah Maran atas tujuan pembangunan kedai. Penduduk Kampung Puah Seberang pula tidak diberi pampasan yang setimpal  sedangkan tanah mereka bakal dibangunkan dalam projek River Of Life. 

Dalam kes Kampung Banggol Donas di Kuala Nerus Terengganu, nasib yang sama menimpa mereka atas alasan kampung mereka adalah cadangan laluan baharu antara Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda. Penduduk kampung diberi notis untuk keluar dari tanah tersebut dalam tempoh 21 hari. 

Dalam keadaan yang ditekan, penduduk kampung masih bersikap rasional dengan mencadangkan kawasan tanah sekitar yang tidak berpenghuni sebagai laluan alternatif baharu. Namun cadangan mereka diabaikan oleh pihak pemaju syarikat milik bekas Ketua Pemuda Umno Terengganu. Kini hanya tinggal lima keluarga sahaja daripada 24 keluarga yang bertahan di sana.  

Ke manakah hala tuju, nasib dan hak pemilikan tanah orang Melayu sedangkan dalam setiap Perhimpunan Agung Umno saban tahun, ucapan dan teriakan membela nasib orang Melayu, membangunkan nasib dan pemilikan ekonomi orang Melayu, tangan-tangan yang diacung ke udara tanda sokongan, slogan-slogan “Hidup Melayu, Hidup Umno”, semua ini hanyalah metafora yang dilampirkan oleh golongan yang selalu menggelar diri mereka pembela nasib Melayu. Hakikatnya orang Melayu makin tertindas dan tertipu diabaikan oleh golongan ini secara sedar dan tidak sedar. 

Boleh dilihat sendiri seawal dalam polisi Dasar Ekonomi Baru, satu dasar yang diunjurkan oleh Tun Abdul Razak usai peristiwa 13 Mei 1969. Dasar dan polisi ini diluncurkan untuk mengimbangi penguasaan ekonomi antara kaum dan pecahan kek ekonomi dapat dirasai dengan adil dan saksama oleh rakyat. 

Sasaran utama dasar ini adalah membangunkan masyarakat Melayu desa agar turut bersaing dalam perlumbaan ekonomi dan kemandirian hidup di Malaysia. Maka lahirlah cadangan mewujudkan FELDA dan kemudiannya FELCRA. Antara sasaran utama dalam dasar ini menyasarkan penguasaan ekuiti Bumiputera mencapai 30 peratus ekonomi negara. 

Tidak dapat dinafikan ada juga kebaikan daripada dasar ini apabila hasil FELDA dapat dituai dan dinikmati oleh generasi kedua dan ketiga peneroka, namun sehingga ke hari ini sasaran pegangan ekuiti ini gagal untuk dicapai kerana sikap tamak pihak berkepentingan dalam politik mengaut keuntungan untuk tembolok mereka sendiri. 

Saham Felda Global Venture (FGV) hari ini sudah merudum di Bursa Saham Kuala Lumpur, tidak pasti adakah peneroka sedar atau tidak bahawa tanah mereka akan tergadai kelak jika saham terus jatuh, hal ini kerana secara tidak sedar, tanah rancangan mereka sedang dipajak oleh pihak FGV. Nasib orang Melayu ditindas oleh orang Melayu sendiri yang laparkan harta dan keuntungan untuk pihak tertentu yang berada di sekeliling mereka. 

Permainan politik, menabur duit dan cadangan projek-projek pembangunan sewaktu pilihan raya umum menjadi instrumen yang ampuh dalam memenangi hati orang Melayu. Hakikatnya ada yang gagal dilaksanakan malah dalam laporan audit oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini, pengerusinya Datuk Nur Jazlan memanggil lapan kementerian untuk mendapatkan keterangan bagaimana boleh berlakunya ketirisan dalam soal pengurusan wang dan pentadbiran oleh pihak kementerian.  

Lantaran itulah, tanah rezab Melayu akan terus menjadi tanah angan-angan orang Melayu sekiranya mereka masih tidak sedar akan apa yang menimpa mereka hari ini. Mungkin hanya segolongan penduduk kampung dan desa menjadi mangsa kerakusan pihak pemaju dan kroni-kroni Umno, jangan hairan kalau kelak pada masa hadapan, orang Melayu sendiri akan merempat dan menjadi penduduk setinggan sedangkan laungan “Hidup Melayu, Hidup Umno” masih bergema kuat di dewan PWTC . – HARAKAHDAILY 15/12/2014
Penulis adalah Adib Azman, aktivis Pro-Mahasiswa We Unite For Islam (WUFI) UIAM. 

Friday 5 December 2014

Hasilkan Produk Dari Idea Perniagaan yang Sudah Wujud? Kenapa Tidak...

PAUL B. BROWN
Kita dapat menulis atau melakar idea-idea yang muncul dalam kepala kita di atas selembar kertas kosong. Tetapi, kalau boleh jangan terapkan amalan ini dalam mencari idea untuk sesuatu produk perniagaan. Mengapa?

Paul B. Brown, penyumbang artikel Forbes.com, menyarankan supaya kita mulakan dengan mencari idea yang dapat menyelesaikan sesuatu masalah atau mengembangkan sesuatu idea yang sudah sedia ada.

Ramai yang berpendapat bahawa mencari idea untuk sebuah produk berdasarkan keperluan pelanggan yang sedia ada adalah bertentangan dengan naluri (counter-intuitive).

Brown mengatakan bahawa ramai yang mempersoalkan: “Bukankah seharusnya kita mulakan dengan suatu idea yang mengagumkan, secara idealnya idea yang unik?”

Menurut Brown “tidak”. Alasan yang pertama, beliau percaya bahawa setiap orang dapat menghasilkan idea yang menarik atas kreativiti masing-masing, tetapi kreativiti yang tidak mendatangkan keuntungan tiada bezanya dengan mempunyai suatu hobi.

Alasan pertama ini berkaitan dengan alasan yang kedua iaitu, memulakan idea baru sangat tidak efisien kerana kita tidak dapat melakukan banyak perkara dengan idea tersebut. Mungkin ia tidak praktikal. Ada juga yang memerlukan pelaburan yang tinggi untuk direalisasikan.

Alasan terakhirnya, jika kita memulakan idea daripada selembar kertas kosong dan berjaya mendapat idea baru, maka kita harus melakukan kajian tentang berapa ramai orang yang memerlukan produk tersebut. Oleh yang demikian, idea baru memerlukan kos tinggi dan memakan banyak masa.

Atas alasan-alasan tersebut, maka jika boleh jangan hasilkan sesuatu produk berdasarkan idea baru. Menurut Brown, mencuba idea yang berdasarkan masalah atau keperluan yang telah teruji adalah lebih efisien. Mengapa?
Pertama. Kita tak perlu membuang banyak masa untuk memperkenalkan bisnes kita. Sebagai contoh, kamera Polaroid. Walaupun akhirnya ia berjaya, tetapi penjualan kamera ini memerlukan masa untuk difahami oleh pasaran. Adalah sukar untuk menjual kamera dengan filem yang khas. Pasaran lebih biasa dengan kamera digital masa kini, maka mereka perlu memahami apa itu Polaroid serta diyakinkan bahawa kamera ini dapat menghasilkan gambar foto yang unik.
Kedua. Dengan membuat produk daripada idea yang berdasarkan masalah atau keperluan yang sedia ada, kita tidak perlu mencari pasaran. Ciptakan produk atau perkhidmatan yang sememangnya diperlukan oleh pelanggan. Tidak perlulah membuang masa untuk mencari pelanggan.

Akhir sekali, kita boleh bertindak lebih pantas. Perkara-perkara yang perlu kita lakukan mempunyai tujuan yang jelas. Kita cuba untuk menangani masalah spesifik yang dihadapi oleh pelanggan melalui produk kita dan dengan itu kita mampu memperkembangkan bisnes dengan lebih mudah.

Cuba hasilkan produk berdasarkan masalah pelanggan yang sedia ada. Apa pendapat anda?
Artikel ini disiarkan di: http://www.usahawan.com