Friday 14 September 2018

PERJALANAN HIDUPKU

Dari sini aku bermula......

Blog ini saya bina hasil dari pengalaman yang saya kutip sejak dari tahun 1969 lagi - bermula dari sebuah kampong di Bandar Diraja Kuala Kangsar. Ketika itu saya dianugerahkan Allah SWT daya kreativiti yang sederhana tetapi mampu menonjolkan diri dikalangan rakan-rakan sebaya dan pihak-pihak berkuasa. 

Alhamdullillah sejak waktu itu, saya terus mengasah bakat dalam beberapa bidang seperti penulisan, pengurusan, kepimpinan, fotografi, musik dan pembikinan drama.

Saya juga terlibat secara aktif dalam politik (nanti saya ceritakan khusus dalam bab politik pulak)

Walaupun begitu saya tidak fokus pada sesuatu bidang sahaja. Kejayaan yang dicapai tidak mendorong saya untuk terus kekal disesuatu bidang, sedikit disana dan sedikit disini. Sebagai contoh dalam penulisan, saya terlibat dalam penulisan artikel, skrip drama dan lirik lagu.

Dalam penulisan skrip saya berjaya menyiapkan dua naskah pada tahun 80an - Villa Bukit dan Kerana Nadzirah (ditayangkan di RTM1) dan lirik lagu 'Insaf' (Kumpulan Perdana 1995) telah berjaya bertahan selama 7 minggu berturut-turut dalam carta lagu di Radio KL pada ketika itu disamping beberapa lagu yang dicipta oleh Saudara Rosli Selasih.




Dalam bidang fotografi saya telah jga mengukir sejarah dengan tertubuhnya PEJUTA (Persatuan Jurufoto Tanahair) yang berpusat di REDZUAN FOTOMEDIA, Bazar Pertama Kompleks. Saya adalah Setiausaha Agungnya. 
Datuk Hj. Shuhaimi Kamaruddin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Majlis Penubuhan PEJUTA  (Persatuan Jurufoto Tanahair) pada 18 Februari 1982 di sebuah hotel di Kuala Lumpur
Ahli-Ahli PEJUTA sedang dalam sessi bergambar di Tasik Perdana Kuala Lumpur

Sebagai wartawan bebas pula saya masih ingat tulisan saya dalam artikel 'Nama Seniman Agung di pawagam dhaif' merujuk kepada Pawagam P. Ramlee yang terletak di Chow Kit. Artikel tersebut telah diterbitkan di Akhbar Mingguan Tanahair dimana pawagam tersebut telah dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dibawah kuasa Datuk Bandar Tan Sri Elyas Omar.

Memori paling indah dalam hidup saya bila dapat menerbitkan akhbar Suara Belia Malaysia terbitan Majlis Belia Malaysia dan Akhbar Gerakan Belia 4B Malaysia yang dinama Akhbar 'Belia Bergerak'. Saya amat teruja. Dalam bidang pembikinan Buletin atau Mini Akhbar ini saya dianugerahkan bakat agak istimewa kerana kesemua elemen yang diperlukan dalam bidang pembikinannya dari penulisan, fotografi,rekabentuk hinggalah ke rekagrafiknya saya boleh buat sendiri.

Dalam pembikinan drama saya berjaya menjadi Penerbit Eksekutif kepada HVD Holdings Sdn. Bhd. (dulu HVD Film Productions & Distributors Sdn. Bhd.). Memilih skrip dan menyediakan bajet untuk dimajukankepada pihak pengurusan dan kemudiannya melaksanakan pembikinan sesebuah drama yang telah diluluskan skrip dan bajetnya adalah tugas Penerbit Eksekutif..

Dalam bidang kepimpinan belia saya telah berjaya menubuhkan Pertubuhan Belia Dinamik Kuala Lumpur (Dinamik) dan menjadi Presidennya yang pertama. Pengalaman saya di Perak selama hampir 5 tahun menjadi Setiausaha Gerakan Belia 4B Daerah dan Setiausaha Majlis Belia Daerah Kuala Kangsar banyak membantu saya dalam meneruskan kelangsungan saya sebagai Presiden Dinamik.

Sewaktu saya berhijrah ke Negeri Sembilan dalam tahun 1982, saya telah berdaya menubuhkan Gerakan Belia 4B Cawangan Felda Pasoh Satu dan dengan lulusnya pendaftaran saya telah lantik menjadi Naib Pengerusi 4B Daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

Kebetulan ketika dilantik menjadi Naib Pengerusi Gerakan Belia 4B Daerah Jelebu, Felda Negeri Sembilan Barat sedang dalam proses penubuhan Majlis Belia Felda Negeri Sembilan Barat. Ketika Mesyuarat Agung penubuhannya saya telah dilantik sebagai Naib Pengerusi majlis tersebut.

Dalam bidang keusahawanan pula saya menjadi Penolong Setiausaha, Persatuan Peniaga-Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dan kemudian menubuhkan pula Pertubuhan Putraniaga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PUTRANIAGA) dan saya adalah Setiausaha Agungnya yang pertama. Projek pertama PUTRANIAGA adalah Expo Perdagangan di Plaza Bukit Bintang dan kemudiannya Plaza UE3 di Cheras, Kuala Lumpur. Kemudian kami juga telah berjaya mengadakan satu lagi ekspo di  Bukit Bintang  Plaza.