Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung
rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan bagi kesalahan
meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke satu tarikh yang akan ditetapkan
kemudian.
Tun Ariffin Zakaria |
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel
lima hakim, berkata mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membuat
keputusan.
Beliau turut melanjutkan tempoh ikat jamin Anwar sebanyak
RM10,000 sementara menunggu keputusan mahkamah tertinggi itu. Pendengaran
rayuan berlangsung selama lapan hari bermula 28 Oktober 2014
Empat lagi hakim yang bersidang ialah Presiden Mahkamah
Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri
Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada membenarkan
atau menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang
diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas selepas ia membatalkan keputusan
Mahkamah Tinggi yang membebaskan ketua pembangkang itu.
Jika Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan lucut
kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) kawasan Permatang Pauh kerana Perkara
48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang MP akan lucut kelayakan
sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.
Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas untuk menambah
tempoh hukuman penjara. Bagaimanapun perkara itu hanya akan didengar sekiranya
Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Pendengaran rayuan itu yang pada awalnya ditetapkan dua hari
mulai 28 Okt telah berlarutan selama lapan hari berikutan pihak pembelaan dan
pendakwaan menyampaikan hujahan panjang lebar dan mengemukakan banyak rujukan
kes undang-undang dalam rayuan itu.
Terdahulu, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah
Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam yang mewakili Anwar, menggulung
hujahan pihak pembelaan.
Peguam yang lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur
Deo, Gobind Singh Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim
Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha
Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai
pasukan pendakwaan dalam rayuan itu. Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya
Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Dalam rayuan itu, Anwar, 67, memohon kepada Mahkamah
Persekutuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan
terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun ini setelah mengubah
keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment