Monday 23 January 2017

SEBUAH CINTA AGUNG

"Secebis kisah cinta mereka"
Anwar dan Azizah.....
Semua orang mengimpikan sebuah pertemuan manis yang akan dikenang sampai ke akhir hayat. Ramai juga yang berusaha mengejar apa yang panggil sebagai cinta sejati. Bagi si teruna menjadi impiannya bertemu dengan gadis idaman, begitu juga bagi seorang gadis yang mengimpikan seorang jejaka impiannya muncul dan menyatakan hasrat bagi menyunting bunga nan mekar. Semua ini dianggap sebagai sebuah kejayaan apabila mereka bersatu secara sah sebagai suami isteri.

Tatkala mula menjalankan tugas sebagai seorang doktor, umur saya sudah mencecah 26 tahun. Satu angka yang kritikal bagi seorang gadis pada zaman tersebut andai belum bertemu jodoh. Bukan tidak ada yang mahu, semasa masih bergelar pelajar di Ireland ada beberapa orang pelajar daripada negara luar mahu melamar, semestinya tidak dibenarkan oleh kedua ayah dan kedua ibu saya. Mesti habiskan pengajian dahulu, pesan mereka dan saya akur.

Tiba-tiba nama Anwar Ibrahim muncul dalam hidup saya. Anwar Ibrahim… satu nama yang sangat terkenal. Ya, beberapa tahun sebelum itu beliau sudah sangat daripada dikenali barisan sebagai seorang kepimpinan mahasiswa khususnya di Universiti Malaya. Sekadar itu sahaja. Itu pun lama sebelum saya ke luar negara. Namun sekeping gambar yang diambil oleh seorang rakan sekelas saya sewaktu di Ireland, membawa Anwar kepada saya. Gambar tersebut diambil semasa saya menghadiri kelas pengajian bahasa Arab. Pada suatu hari, seorang kenalan datang berjumpa saya, dia kemudian memaklumkan kepada saya bahawa Anwar Ibrahim sedang mencari calon isteri dan bertanya sama ada saya berminat atau tidak?
Saya terkejut, pada waktu itu Anwar Ibrahim sudah menjadi presiden kepada sebuah gerakan Islam yang bernama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Beliau sudah sangat tersohor di Malaysia. Saya pula hanya seorang doctor siswazah di Hospital Besar, Kuala Lumpur.
Saya serba salah dan mengambil sikap acuh tidak acuh. Namun selepas mendengar cakap-cakap daripada kawan-kawan mengenai beliau, saya kemudian mengubah keputusan, “Saya setuju setakat jumpa beliau,” hati mula berbicara. Daripada cakap-cakap orang dan pembacaan mengenai beliau, saya mula jatuh hati kepada prinsip dan perjuangan yang didokong oleh beliau. Selain daripada itu, beliau juga dilihat masyarakat semasa sebagai seorang pemimpin, intelektual Islam yang berwibawa dan juga… hensem!? Jika ada yang bertanya, “Apakah kalian ‘berdating’ dahulu?” atau “Apakah kalian memberi dan menerima hadiah istimewa yang dikenang-kenang sampai saat ini?” Mungkin ada juga yang akan bertanya, “Pernahkah Datuk Seri hadiahkan sebarang bunga kepada Kak Wan?” dan sebagainya. Jawapannya adalah….

Satu pertemuan diaturkan di rumah seorang kawan. Saya hanya bersiap ala kadar kerana saat itu jujurnya, saya masih ragu akan perasaan diri sendiri. Namun saya gagahkan jua kerana mahu melihat sendiri bagaimanakah rupanya Anwar Ibrahim, apakah beliau benar sebagaimana yang dibicarakan orang ramai? Saya menanti, semuanya sudah tersedia. Tibatiba, satu panggilan telefon masuk dan tuan rumah menjawab. Beliau kemudian datang kepada saya dengan wajah yang sedikit redup, “Mohon maaf, saudara Anwar tidak jadi datang kerana perlu ke Iran bagi mewakili belia Islam Asia bagi meraikan kejayaan Revolusi Iran selepas menjatuhkan kerajaan Shah Iran.”
Saya hanya mampu tersenyum, “Mungkin bukan jodohku,” gumam saya dalam hati. Rasa lega berseli dengan rasa hampa. Ah, apakah perasaan itu. Saya sendiri kurang jelas dengan perasaan diri sendiri saat itu. Kehidupan diteruskan dan saya terus menjadi seorang doktor yang melakukan rutin kedoktorannya. Sehinggalah pada suatu hari, tiba-tiba ada pesanan kepada saya yang ada orang mahu berjumpa dengan saya dan orang tersebut sedang menunggu saya di kantin hospital. Saat itu saya masih dalam duti, membuat pemeriksaan kepada para pesakit. Hati tertanya-tanya, “Siapakah yang datang? Apakah mungkin… ah, tidak mungkin….”
Selesai sahaja tugasan, saya bergegas ke kantin hospital dan sengaja datang dari arah yang tidak dapat dilihat oleh orang, dari jauh saya melihat seorang lelaki sedang duduk keseorangan. Kemudian saya mengamati beliau agak lama juga sebelum saya berjumpa dengannya. Ternyata apa yang terlahir di hati saya saat itu adalah, “Benarkah ini adalah Anwar Ibrahim? Ternyata dia sangat kurus dan cengkung malah memakai cermin mata yang berbingkai besar. Kelihatannya tidaklah sehebat sebagaimana yang diperkatakan.” Kemudian saya menyapa dan kami duduk bersembang, namun tidak lama.
Beliau perlu segera beredar kerana ada beberapa mesyuarat dan perkara yang perlu diuruskan.Saya kemudian dapat merasai apa yang dinamakan wibawa seorang tokoh pimpinan. Mendengar bait-bait kata yang dilafazkan beliau serta celupan dan curahan pemikiran beliau, saya akhirnya mengakui mengapa beliau yang sangat belia pada waktu itu boleh pergi sejauh itu dalam aktivisme, kemasyarakatan dan perjuangan.

Itulah antara siri-siri perjumpaan yang kemudian membawa kami kepada pasangan yang sah bergelar suami isteri selang setahun kemudian. Tiada perjumpaan atau apa yang dipanggil ‘dating’.
Hubungan kami kebanyakan melalui talipon; berjumpa sekadar perlu, itu pun kebanyakan di hospital tempat saya bekerja
- DS Dr Wan Azizah...
(Biar gambar berbicara)