Sunday 27 September 2015

ADAKAH RACISM DI MALAYSIA KIAN MENINGKAT




Artikel ini di tulis oleh Datuk Saifuddin Abdullah (Mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)Presiden Gerakan Kesederhanaan Global yang telah di siarkan di Sinar Harian pada 29 September 2015

DUA 
perhimpunan aman baru sahaja selesai, iaitu Bersih 0.4 dan Merah. Saya menyokong Bersih 0.4 atas lima objektif khususnya, iaitu pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, memperkasa demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi.


Bagi Merah, mereka berhak berhimpun, tetapi saya tidak menyokongnya kerana ia tidak mempunyai objektif khusus. Ia sekadar perhimpunan melawan Bersih 0.4. Adakah bermakna ia menolak lima objektif  0.4 yang penting untuk negara itu?

Oleh kerana semasa Bersih 0.4 timbul suara mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib supaya berundur, maka, Merah (yang melawan suara tersebut) adalah bertujuan untuk mempertahankan Datuk Seri Najib. Kalau ini objektifnya, maka, ia hak mereka yang wajar.

Tetapi, apabila dibandingkan objektif, cara dan kandungan penghujahan-penghujahan tentang kedua-dua perhimpunan itu, maka, adalah jelas bahawa penghujahan yang menyokong Bersih 0.4 dan tidak menyokong Merah jauh lebih substantif dan artikulatif.

Di samping itu, kedua-dua perhimpunan tersebut telah menimbulkan sekurang-kurangnya dua persoalan lain yang punya konotasi signifikan terhadap nilai kebenaran dan keadilan.

Pertamanya, ialah double standard yang dilakukan daripada Perdana Menteri hinggalah Ketua Polis Negara dan pihak-pihak lain yang berkaitan.

Hujah-hujah lemah, ugutan dan ancaman yang digunakan bagi menghalang Bersih 0.4 tidak digunakan terhadap Merah. Tidak ditimbulkan soal democrazy, perhimpunan haram, kekacauan, kesesakan jalan raya, mengganggu perniagaan, memburukkan nama negara, berlawanan dengan demokrasi berparlimen atau menggulingkan kerajaan.

Dan keduanya, dan ini adalah lebih utama, ialah elemen rasisme yang tercetus sebelum, semasa dan selepas Merah.

Penganjur dan penyokong Merah menuduh Bersih 0.4 didominasi kaum Cina. Benar, majoriti peserta Bersih 0.4 adalah Cina. Tetapi, peratusan komposisi Cina berbanding yang lain sukar ditentukan.

Tetapi, adalah tidak wajar untuk menuduh Bersih 0.4 didominasi Cina. Kerana, daripada tujuh orang penganjurnya yang disiasat polis selepas selesai perhimpunan itu, majoritinya bukan Cina.

Pokoknya, Bersih 0.4 dianjur, disokong dan disertai rakyat pelbagai kaum. Ini amat berbeza dengan Merah yang terang-terangan merupakan perhimpunan orang Melayu. Perhimpunan orang Melayu tidak menjadikannya rasis. Mungkin sekadar rasialisme.

Menurut Ooi Kee Beng, “rasialisme” ialah mempromosi kaum sebagai klasifikasi asas dalam diskusi dan dasar awam. Ia tidak menjadikan seseorang itu rasis, tetapi ia adalah satu keadaan ke arah itu.

Manakala “rasis” ialah seseorang yang berasa dan mempamerkan kebencian terhadap orang lain atas alasan kaum. Ia mungkin berpendapat bahawa sikapnya itu adalah moral (baik). Ia berpendapat kaumnya adalah lebih baik, atau terbaik, berbanding kaum-kaum lain.

Mungkin juga ia tidak berasakan kaumnya adalah lebih baik atau terbaik, tetapi, pokoknya, ia menghakimi manusia dengan berasaskan kaum. Seorang rasis adalah juga seorang rasialis.

Apa yang merisaukan ialah elemen rasisme jelas kelihatan sebelum, semasa dan selepas Merah. Contohnya, ungkapan tiga orang Ketua Bahagian Umno, iaitu maki hamun diikuti pembakaran patung dua orang pemimpin Cina, kata nista terhadap Tun Mahathir dan Islam mengizinkan rasisme. Begitu juga ungkapan “Cina babi” dan sebagainya oleh peserta-peserta Merah.

Umno Malaysia perlu menyatakan pendirian atas hal ini. Kalau tidak, ia boleh dikatakan sebagai mengizinkannya. Ini penting kerana mutakhir ini wujud kerisauan bahawa kerajaan, ataupun tingkah-laku pemimpin-pemimpin tertentu, kelihatan semakin bergerak ke kanan dalam isu-isu dan dasar-dasar yang melibatkan kaum. 

Ini membawa kita kepada persoalan lebih besar, iaitu, adakah kerajaan memiliki elemen rasisme? Ini dilihat dari sudut Politik Ras (Jill Vickers dan Annette Isaac), iaitu bagaimana kerajaan mencipta kaum; menggunakan undang-undang, dasar-dasar dan institusi-institusi untuk mendukung politik ras; menghalang perubahan; dan membangunkan faham “rasisme demokratik”.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

Wednesday 23 September 2015

Epilog Cinta Ibrahim-Hajar : Kisah Sebuah Pengorbanan

Oleh: Ustaz Azlee Hassan

Sudah terlalu lama Nabi Ibrahim AS mendambakan seorang anak. Ketika melewati usia tua, isteri Nabi Ibrahim as, Hajar mengandung dan ia menjanjikan pewarisan zuriat keturunannya. Lantaran itu Nabi Ibrahim as semakin sayang kepada Hajar.

Hari demi hari akhirnya Hajar  pun melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat dan diberi nama Ismail. Keadaan ini menambahkan kasih sayang Nabi Ibrahim a.s terhadap Hajar dan anaknya Ismail. Namun Allah mahu menguji mereka. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim dan  Hajar ke suatu tempat yang jauh, yang Nabi Ibrahim as sendiri tidak mengenal tempat itu.
Baginda Nabi Ibrahim keluar merantau dari Bumi Palestin dengan menunggang seekor unta bersama Hajar dan Ismail ke tempat  yang dia sendiri tidak tahu tujuannya. Namun dia amat yakin akan adanya  Allah yang akan membimbingnya. Setelah berminggu-minggu berjalan tibalah Nabi Ibrahim di sebuah daerah yang bernama Mekah, satu daerah yang kering kontang dan tidak ada penghuni. Hanya terlihat gurun pasir dan gunung-gunung batu, tidak ada tanaman untuk dimakan juga tidak ada air untuk diminum. Nampaknya di sinilah  Hajar dan Ismail diperintahkan Allah untuk hidup dan bermukim.
Bagaimanalah perasaan Nabi Ibrahim as ketika itu. Tentu sahaja beliau berasa sangat sedih dan pilu, namun beliau berkata kepada  Hajar:  ”Bertawakallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan dialah yang akan melindungi kamu dan menyertai kamu di tempat yang sunyi ini. Sungguh kalaulah bukan perintah dan wahyu-Nya, tidak sekalipun aku tekad untuk meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat aku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahawa Allah yang Maha kuasa tidak akan menelantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya. Insya-Allah”
Setelah ditinggal  Nabi Ibrahim as untuk tempoh beberapa ketika, keadaan  Hajar dan Ismail sangat mencemaskan.  Hajar   diuji dengan kelaparan dan dahaga di gurun tandus tersebut. Akibat kelaparan, air susunya juga tidak cukup untuk menyusui  puteranya Ismail. Puteranya Ismail menangis meronta-ronta sehingga menyayat hati Sang Ibu bernama Hajar. Kelaparan, kecemasan serta  tangisan tanpa henti-henti Nabi  Ismail as  membuatkan  Hajar menjadi panik. Dia berlari-lari ke sana ke mari untuk mencari sesuap makanan atau seteguk air  buat penghilang lapar dan dahaga.
Lalu  Hajar pergi ke bukit Safa, dia berharap agar dapat menemui sesuatu yang mampu  menolongnya, namun hanya batu dan pasir yang ditemuinya di sana. Dari Bukit Safa itu dia melihat bayangan air yang mengalir di atas Bukit Marwah, kemudian dia berlari lagi ke bukit Marwah, namun setelah dia tiba di sana, yang wujud adalah hanya bayangan fatamorgana belaka.
Diriwayatkan dalam keadaan Hajar yang tidak berdaya dan hampir putus asa, setelah berulang alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Sofa dan Marwah, datanglah malaikat Jibrail lalu bertanya: “Siapakah sebenarnya engkau ini?” Kemudian  Hajar menjawab : “Aku adalah hamba sahaya Ibrahim”. Jibril bertanya lagi :” Kepada siapa engkau ditinggalkan di sini?”,  Hajar menjawab : “Hanya kepada Allah.
Lalu malaikat Jibrail berkata lagi : “Jika demikian, maka engkau telah ditinggalkan kepada Dzat yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupkan keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya”
Lalu  Hajar diajak  ke suatu tempat di mana malaikat Jibrail menginjakkan telapak kakinya dengan kuat di atas tanah. Dengan  izin Allah keluarlah dari bekas telapak kaki itu air yang begitu jernih. Mata air itu kemudian dinamakan mata air zam-zam yang tak pernah kering sehingga  hari ini. Keadaan ini pula yang menjadikan Kota Mekah semakin lama semakin tumbuh dan berkembang pesat zaman berzaman sehinggalah ke hari ini. Mekah menjadi bumi penuh barokah dan rahmah.
Sementelahan itu pula, ketika Nabi Ismail AS mencapai usia remaja, Nabi Ibrahim mendapat mimpi bahawa dia telah diperintahkan Allah untuk menyembelih puteranya tersebut.  Begitu lama Nabi Ibrahim as termenung untuk menafsirkan mimpi itu. Sesungguhnya amat berat ujian yang bakal dihadapinya.  Namun sesuai dengan firman Allah: “Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanahkan risalahNya”. Lalu Nabi Ibrahim menuju ke Mekah untuk menemui dan menyampaikan perintah tersebut kepada puteranya Nabi Ismail as.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : QS 2: 124, “ Dan (ingatlah, ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata:  “(Dan saya memohon juga) dari keturunanku”. Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak menimpa orang-orang  yang zalim”.
Tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang Nabi Ismail pun menjawab perkhabaran ayahnya : “Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu.  Kemudian dipeluknya Nabi Ismail AS dan dicium pipinya ,Nabi Ibrahim lantas berkata : “Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, berbakti kepada orang tuanya serta yang ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah”
Ketika perintah penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikat kedua belah tangan dan kaki Nabi Ismail AS, dibaringkanlah dia di atas pelipisnya, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia. Maka terjadilah perang batin di hati Nabi Ibrahim as, antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Namun akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan di leher Nabi Ismail AS dan penyembelihan pun dilakukan.
Namun apa yang berlaku, parang yang tajam itu menjadi tumpul di leher Nabi Ismail AS.  “Wahai ayahku yang dicintai, rupa-rupanya engkau tidak sampai hati untuk menyembelih leherku karena melihat wajahku, cubalah  engkau telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku”.  Berkali-kali dilakukan tetapi tetap jua tidak berhasil.
Dalam keadaan bingung dan sedih, datanglah wahyu Allah : “Wahai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpimu itu, sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang cukup besar”.
Kemudian sebagai ganti nyawa Nabi Ismail AS, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim AS menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya. Inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap hari raya Eidhul Adha di seluruh dunia.
Kisah-kisah Qurani ini sentiasa bergema ketika menjelang hari raya Eiduladha. Ia  adalah kisah episod cinta kudus seorang manusia figur yang tinggi pengorbanannya terhadap Allah azzawajallah. Ujian kesulitan dan kepayahan yang dilalui Nabi Allah Ibrahim as, isteri dan puteranya adalah lambang kekudusan ubudiyah yang tidak ada tolak bandingnya di dalam sejarah kemanusian. Ia terlakar dalam babak-babak korban kasih dan cinta demi satu perjuangan agung dan besar.
Ibrah di sebalik tragedi cinta yang menyayatkan hati ini tidak terhenti dengan drama pilu dan sedih tetapi berakhir dengan sesuatu yang indah, manis, bahagia dan luar biasa. Ia adalah sebuah ujian, sebuah perjuangan, sebuah pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas demi menjunjung risalah besar dan agung serta mewariskan keturunan zuriat penyambung risalah. Mungkin  Hajar tidak pernah membayangkan kota Mekah yang dahulunya tidak berpenghuni, tanah yang gersang, kering kontang tanpa air, tempat  di mana dia berlinangan air mata demi seteguk air, sekarang sudah berkembang pesat menjadi kota moden yang  dikunjungi ramai manusia ketika ini.
Para duat di jalan allah perlu meneliti setiap babak kisah ini, mengamati perjalanan pahit manis rumahtangga dakwah pasangan sejoli Ibrahim-Hajar. Ke’jantanan’ puteranya Nabi Ismail as yang membuktikan tanda cinta yang tidak berbelah bagi. Kisah ini menjadi kisah dakwah bagaikan sejambak mawar merah yang  mekar mewangi dan harum sekalipun dikelilingi duri-duri yang tajam.
Marilah kita renungkan kembali kisah agung ini, marilah kita jadikan  kisah keluarga Nabi Ibrahim AS yang penuh ujian, perjuangan dan pengorbanan sebagai teladan perjuangan di atas jalan dakwah ini.Semoga hadirnya  Eidul Adha menjadi momentum untuk meningkatkan daya juang, kesabaran menghadapi ujian dari Allah serta  meningkatkan ruh keihklasan untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara.
https://maalimfitariq.wordpress.com

Monday 21 September 2015

MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI

Sekarang Akhi sedang giat mempromosi dan menjual buku tulisan Saudara Fathuri Salehudin iaitu Mudahnya Menjemput Rezeki dan Allah Tempat Meminta (Edisi Penuh dan Buku Mini). Alhamdullillah itulah punca rezeki Akhi sekarang. Kalau nak beli melaui Pos pun boleh, Dan kalau nak jumpa Akhi. Akhi selalu jual buku itu samaada di Jalan Melayu Masjid India dan di depan Sogo. 

Kandungan buku ini disusun untuk panduan umat Islam yang mau rezeki mereka bertambah. Menurut penulisnya REZEKI kena dijemput, bukan di cari seperti yang menjadi tanggapan kebanyakan orang. Dan buku Mudahnya Menjemput Rezeki memberi petunjuk jelas cara bagaimana mau rezeki dijemput.

Buku tulisan Saudara Fathuri Salehuddin ini sudah lama diterbitkan iaitu pada tahun 2012 tetapi masih ramai yang belum membaca dan memilikinya. Jadi Akhi sarankan agar yang belum memilikinya, cari dan belilah kerana ianya amat tinggi nilainya. Akhi sendiri telah dapat merasakan perubahan apabila mengamalkan apa yang di tulis sebagai panduan oleh penulisnya. Cubalah hayati dan amalkan, Insyaallah anda juga akan dapat merasai kesan dan perubahannya dalam hidup anda.

Kerana terkesan dengan panduan yang diberikan menjadi sebab Akhi mahu agar buku ini dikongsi oleh sahabat-sahabat Akhi dan orang ramai khususnya. Dan sejak minggu lalu Akhi mula menjualnya. Jadi jangan ketinggalan, segeralah mendapatkan naskah edisi penuh berharga RM18.00 atau Buku Mini RM2.50 sahaja. Nak pesan dengan Akhi pun boleh tapi kenalah bayar belanja posnya.


"Dan dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka
Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan
(keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-NYA.
Sesungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu"

 ( Ath-Thalaq 65:3 )



ADAM CUCU AKHI

CUCU