Tuesday 4 November 2014

WARKAH TERAKHIR BUAT SAUDARAKU

'Warkah akhir untuk saudaraku'


Berdepan dengan kemungkinan menjalani hukuman penjara sekiranya rayuannya terhadap sabitan kes Liwat 11 di Mahkamah 'Persekutuan menemui kegagalan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menulis 'warkah akhir' kepada rakyat Malaysia malam tadi.

Berikut adalah 'warkah akhir' Anwar:

Saudaraku, esok 4 November 2014 mungkin kali terakhir kita dapat menjejak tanah yang sama, berbumbung langit yang serupa dan menghirup udara yang tiada beza tanpa hadangan tembok penjara dan tirai besi.

Rejim zalim Barisan Nasional menerusi aparatnya kelihatan amat tidak sabar untuk kembali menghumban saya ke penjara.

Esok juga mungkin peluang akhir saya berjabat tangan dan menatap wajah saudara semua.

Saya dan Azizah serta seluruh keluarga ingin memohon maaf jika terdapat salah dan silap yang kami lakukan sepanjang jalan perjuangan kita.

Kepada sahabat yang setia, terima kasih kerana teguh bersama menegakkan cita-cita Reformasi dan Islah yang kita dokong selama ini. Saya tidak mungkin dapat bertahan begini lama tanpa dokongan dan doa daripada saudara sekalian.

Buat rakan-rakan Pakatan Rakyat, harapan saya agar kerjasama kita dapat diperkukuh demi matlamat menumbangkan kezaliman dan menegakkan keadilan.

Untuk anak-anak muda sekalian, masa depan Malaysia di tangan kamu semua. Bangkitlah dengan jiwa merdeka, jangan dilemahkan dengan ugutan penguasa.Kamu penentu masa depan negara.

Walaupun rencana jahat mereka mampu memenjarakan jasad saya, berjanjilah bahawa jiwa dan perjuangan kita tetap bebas dan terus menyusur ke segenap jiwa saudara semua.

Saya tetap optimis, perubahan tetap akan berlaku di bumi tercinta ini. Kita jumpa esok di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Reformasi! Allahuakbar!


Sumber: Malaysiakini

No comments:

Post a Comment