Thursday 1 November 2018

HIDUP TANPA KOMPUTER

Sudah bertahun-tahun hidup aku di warnai oleh sebuah komputer. Tetapi tiba-tiba diwaktu aku nak memulakan peniagaan dengan membuka sebuah pejabat kecil di bilik belakang Busanaria, sebuah kedai jahit milik isteriku, tiba-tiba komputer ku rosak. Dalam keadaan aku betul-betul 'kering' dan baru sahaja membeli sebuah printer juga kerana rosak 'headnya' dan tidak bisa digunakan lagi kini aku berhadapan dengan kerosakan komputer pula.  Memang pening..... minggu lepas ketika printer rosak, mujur la Dato' Amnah bantu sebanyak RM200.00, dan aku tambah sebanyak RM299.00 sahaja lagi maka dapatlah aku memiliki  sebuah printer menggantikan printer lama, yang sudah hampir 16 tahun aku gunakan. Begitu juga dengan komputer yang dah hampir 13 tahun usianya tiba-tiba 'chipsetnya' rosak. Kalau nak gantikan chipset taklah berapa mahal tetapi masaalahnya komputer ku itu model lama, kata anakku Fendi, yang arif tentang komputer. Sekarang sudah advance lagi katanya. Lagi pun usia komputer ku itu sudah dikira terlalu lama, kerana aku membelinya pun adalah komputer secondhand, sebelum aku kena stroke kira-kira 13 tahun lalu. 

Memang komputer itu banyak jasanya, malah sejak aku bergerak cergas dalam Pergerakan Reformasi, itulah komputer yang menjadi temanku dalam mencatatkan banyak peristiwa penting serta dalam menjalankan kerja-kerja reformis yang aku menjadi salah seorang yang bergerak aktif, bersama-sama rakan-rakan reformis yang lain.

Tiba-tiba ianya rosak, perniagaan yang baru bermula juga memerlukan modal. Ke mana harus aku mengadu. Lantas teringat aku kepada seorang YB...  melalui WhatsApp aku menghantar mesej meminta bantuan kepadanya tetapi hampir seminggu tiada reaksi darinya. Dia dah membaca mesej dari ku itu tetapi adakah dia keberatan untuk membantu atau terlalu sibukkah dia?. Walaupun selama ini, dia ada membantu ku sekiranya ada permintaan dari aku mengenai gerakkerja yang menyangkut dengan perjuangan reformasi. Tetapi kali ini walau pun aku yakin bahawa dia akan dapat membantu tetapi aku hampa kerana tiada reaksi darinya. Dan teruslah aku dengan ketiadaan komputer. Memang sangat tertekan sebenarnya tetapi terpaksalah aku bersabar sedangkan masih ada kerja yang teramat mustahak terpaksa dilakukan. Pada masa ketiadaan komputer itu, aku hanya membuat catatan menggunakan tulisan tangan. Oleh kerana sejak lepas sekolah aku sudah mula menggunakan komputer maka menggunakan tulisan tangan agak kekok sedikit dan aliran pikirku yang agak laju tidak dapat memberikan catatan yang baik ketika menulis tangan. Berbeza menggunakan komputer rasanya lebih tepat dan sama dengan lajunya perjalanan otakku. Pada waktu yang sama kedai juga sudah sampai masanya untuk dibayar sedangkan rumah sewa ku hanya telah ku bayar separuh lebih sedikit. Mau tak mau, aku dahulukan sewa kedai ku, itu pun tak sepenuhnya, hanya separuh sahaja dapat ku bayar dan aku berjanji kepada tuan kedaiku bahawa bakinya akan ku bayar dalam masa dua tiga hari lagi sedangkan aku tidak pasti dari sumber mana akan ku dapatkan duit sewa itu. 

Hampir seminggu lebih aku tiada komputer. Tetapi aku hanya dapat menggunakan komputer apabila rakan-rakan dari rumahpangsa tempat aku tinggal ini memerlukan aku untuk membuat surat rayuan ketika lif rumahpangsa ini rosak, bukan sekali tapi hampir setiap hari. Oleh kerana aku sendiri pun akan terpaksa menapak menaiki tangga, serta kesian kepada penghuni-penghuni (ada antaranya sudah berusia dan uzur) di flat yang sama maka terpaksa jugalah aku membantu tuliskan surat kepada YB. Zuraidah memohon agar lif-lif di flat ini diganti. Dan kebetulan kebanyakan kawan-kawan di flat ini tau bahawa aku boleh membuat surat untuk dihantar kepada Ahli Parlimen Ampang itu maka terpaksa-lah aku membantu bila mereka meminta tolong. Hampir 5 jam aku menyiapkan surat dan yang akhirnya penghuni-penghuni terpaksa turunkan tandatangan sebagai tanda bersetuju untuk permohonan itu dibuat. 

Dilema untuk mendapatkan sebuah komputer masih berterusan, aku akhir terfikir meminta pertolongan dari Tuan Haji Aziz Jalal, Penyelaras Parti Amanah Negara DUN Gombak Setia sebanyak RM1K, agak lama juga aku cuba mendapatkan reaksi darinya. Tetapi oleh kerana aku tahu bahawa dia amat sibuk kerana tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Ampang Jaya maka aku bersabar saja lah..... Aku faham setiap hari ada saja tugasan dan aktiviti yang beliau jalankan kerana dia benar-benar aktif orangnya. 

Nak beli komputer terpakai harganya paling murah pun RM600, ada juga lebih mrurah dari harga itu tetapi fungsi & spesifikasinya tidaklah sampai ke tahap yang diperlukan untuk kerja-kerja yang akan aku laksanakan.

Sementara itu sewa kedai dan sewa rumah masih belum ku lunaskan lagi. Seorang sahabat Saudara Radzi yang juga rakan-kongsi perniagaan ku tiba-tiba menghulurkan RM200, Alhamdullillah. Dengan wang yang ada ditangan maka dapatlah aku membayar baki sewa kedai. 


Sekali lagi aku memberi mesej melalui WhatsApp memohon bantuan dari Tuan Haji Aziz Jalal, 2 hari lamanya aku menunggu, akhirnya dia memberitahu bahawa dia dah pun transfer RM500 ke akaun yang aku beri. Alhamdullillah. Memang pening tapi aku berazam wang yang di beri oleh Tuan Haji Aziz itu akan ku simpan sehingga cukup untuk sebuah komputer di beli. Akhirnya dengan duit dari hasil jahitan, aku TopUp sebanyak RM150 menjadi RM650 maka sampailah aku ke Imbi Plaza di Bukit Bintang untuk aku mendapatkan sebuah komputer terpakai. Cari punya cari, aku terus mendapatkan sebuah komputer (berdasarkan kepada spesifikasi yang dikatakan oleh anak ku bahawa komputer itu sesuai  kerja-kerja yang akan aku lakukan) serta cukup dengan bajet yang aku ada ditangan, tawar punya tawar akhirnya sangkut dengan harga RM590. Alhamdullillah.




Jadi, kesimpulannya hidup tanpa komputer, terutama bila banyak yang ingin dibuat.... menjadikan kita rimas dan resah. Itulah aku. Dan aku mengucapkan setinggi terimakasih kepada Tuan Haji Aziz Jalal, Dato' Amnah Daud serta sahabatku Radzi Jumairi yang sudi membantu aku dalam menangani masaalah aku yang kurang upaya ini.

Friday 14 September 2018

PERJALANAN HIDUPKU

Dari sini aku bermula......

Blog ini saya bina hasil dari pengalaman yang saya kutip sejak dari tahun 1969 lagi - bermula dari sebuah kampong di Bandar Diraja Kuala Kangsar. Ketika itu saya dianugerahkan Allah SWT daya kreativiti yang sederhana tetapi mampu menonjolkan diri dikalangan rakan-rakan sebaya dan pihak-pihak berkuasa. 

Alhamdullillah sejak waktu itu, saya terus mengasah bakat dalam beberapa bidang seperti penulisan, pengurusan, kepimpinan, fotografi, musik dan pembikinan drama.

Saya juga terlibat secara aktif dalam politik (nanti saya ceritakan khusus dalam bab politik pulak)

Walaupun begitu saya tidak fokus pada sesuatu bidang sahaja. Kejayaan yang dicapai tidak mendorong saya untuk terus kekal disesuatu bidang, sedikit disana dan sedikit disini. Sebagai contoh dalam penulisan, saya terlibat dalam penulisan artikel, skrip drama dan lirik lagu.

Dalam penulisan skrip saya berjaya menyiapkan dua naskah pada tahun 80an - Villa Bukit dan Kerana Nadzirah (ditayangkan di RTM1) dan lirik lagu 'Insaf' (Kumpulan Perdana 1995) telah berjaya bertahan selama 7 minggu berturut-turut dalam carta lagu di Radio KL pada ketika itu disamping beberapa lagu yang dicipta oleh Saudara Rosli Selasih.




Dalam bidang fotografi saya telah jga mengukir sejarah dengan tertubuhnya PEJUTA (Persatuan Jurufoto Tanahair) yang berpusat di REDZUAN FOTOMEDIA, Bazar Pertama Kompleks. Saya adalah Setiausaha Agungnya. 
Datuk Hj. Shuhaimi Kamaruddin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Majlis Penubuhan PEJUTA  (Persatuan Jurufoto Tanahair) pada 18 Februari 1982 di sebuah hotel di Kuala Lumpur
Ahli-Ahli PEJUTA sedang dalam sessi bergambar di Tasik Perdana Kuala Lumpur

Sebagai wartawan bebas pula saya masih ingat tulisan saya dalam artikel 'Nama Seniman Agung di pawagam dhaif' merujuk kepada Pawagam P. Ramlee yang terletak di Chow Kit. Artikel tersebut telah diterbitkan di Akhbar Mingguan Tanahair dimana pawagam tersebut telah dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dibawah kuasa Datuk Bandar Tan Sri Elyas Omar.

Memori paling indah dalam hidup saya bila dapat menerbitkan akhbar Suara Belia Malaysia terbitan Majlis Belia Malaysia dan Akhbar Gerakan Belia 4B Malaysia yang dinama Akhbar 'Belia Bergerak'. Saya amat teruja. Dalam bidang pembikinan Buletin atau Mini Akhbar ini saya dianugerahkan bakat agak istimewa kerana kesemua elemen yang diperlukan dalam bidang pembikinannya dari penulisan, fotografi,rekabentuk hinggalah ke rekagrafiknya saya boleh buat sendiri.

Dalam pembikinan drama saya berjaya menjadi Penerbit Eksekutif kepada HVD Holdings Sdn. Bhd. (dulu HVD Film Productions & Distributors Sdn. Bhd.). Memilih skrip dan menyediakan bajet untuk dimajukankepada pihak pengurusan dan kemudiannya melaksanakan pembikinan sesebuah drama yang telah diluluskan skrip dan bajetnya adalah tugas Penerbit Eksekutif..

Dalam bidang kepimpinan belia saya telah berjaya menubuhkan Pertubuhan Belia Dinamik Kuala Lumpur (Dinamik) dan menjadi Presidennya yang pertama. Pengalaman saya di Perak selama hampir 5 tahun menjadi Setiausaha Gerakan Belia 4B Daerah dan Setiausaha Majlis Belia Daerah Kuala Kangsar banyak membantu saya dalam meneruskan kelangsungan saya sebagai Presiden Dinamik.

Sewaktu saya berhijrah ke Negeri Sembilan dalam tahun 1982, saya telah berdaya menubuhkan Gerakan Belia 4B Cawangan Felda Pasoh Satu dan dengan lulusnya pendaftaran saya telah lantik menjadi Naib Pengerusi 4B Daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

Kebetulan ketika dilantik menjadi Naib Pengerusi Gerakan Belia 4B Daerah Jelebu, Felda Negeri Sembilan Barat sedang dalam proses penubuhan Majlis Belia Felda Negeri Sembilan Barat. Ketika Mesyuarat Agung penubuhannya saya telah dilantik sebagai Naib Pengerusi majlis tersebut.

Dalam bidang keusahawanan pula saya menjadi Penolong Setiausaha, Persatuan Peniaga-Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dan kemudian menubuhkan pula Pertubuhan Putraniaga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PUTRANIAGA) dan saya adalah Setiausaha Agungnya yang pertama. Projek pertama PUTRANIAGA adalah Expo Perdagangan di Plaza Bukit Bintang dan kemudiannya Plaza UE3 di Cheras, Kuala Lumpur. Kemudian kami juga telah berjaya mengadakan satu lagi ekspo di  Bukit Bintang  Plaza.

Thursday 30 August 2018

JANTUNG PISANG

Di Thailand jantung pisang menjadi famous sekarang kerana di eksport ke Germany. Walaupun di eksport bertan-tan, tetapi masih tidak dapat memenuhi permintaan dari Germany.   Kalau satu jantung pisang dijual dikampung2 di Thailand dengan harga 20 Baht atau dalam RM1.20 satu duit Malaysia, tetapi bila dieksport ke Germany harganya 1000 Baht atau RM120.00 sebiji jantung.


Mengapa orang Germany suka jantung pisang?
Untuk menjaga kesihatan dan untuk menurunkan berat badan. Orang Germany sekarang sudah beralih tidak memakan daging, sebagai ganti mereka guna jantung pisang. Mereka on 'vegan diet' iaitu hanya makan sayuran. Mereka masak kari, masak goreng ayam dough (?), buat sup dan salad.

Jantung pisang mempunyai serat saperti daging. Selain itu ia juga adalah ubat herba.  Banyak manfaat jantung pisang ini rupanya:
1.  Penyelenggaraan gigi. Buat gigi lebih putih.
2.  Membanyakkan susu ibu.
3.  Rawatan gastritis.
4.  Rawat luka segar dan menghisap nanah.
5.  Melegakan bengkak dari gigitan serangga.
6.  Kurangkan gula dalam darah untuk pengidap kencing manis.
7.  Penyelenggaraan nutrien darah, membantu anemia/kurang darah.
8.  Membantu aliran darah dengan baik.
9.  Menyembuhkan luka di mulut dengan lebih cepat.
10. Membuat kulit licin.

Info dari Website Thailand


Saturday 18 August 2018

REFORMIS DISATUKAN

Tanggal 14 Ogos 2018 merakam satu lagi sejarah dalam gerakan reformasi tanahair kita. Pada tanggal tersebut reformis-reformis yang bernaung dibawah Otai Reformis '98, Pro98 Reformis, Reformis TheClub serta reformis persaorangan telah di himpunkan dalam suatu mesyuarat bagi mendapatkan persetujuan untuk digabungkan dalam satu wadah. Usaha yang bermula dari Tuan Haji Romly Ishak, Setiausaha Politik, Dato' Seri Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR telah berjaya mengubah keadaan, dari pelbagai kumpulan telah dapat disatukan dibawah satu bumbung. Usaha pertama yang dilakukan oleh  Tuan Haji Romly adalah menemui beberapa orang pemimpin dari Otai Reformis '98, Pro98 Reformis dan beberapa orang reformis perseorangan dalam suatu jamuan makan tengahari di Ibukota pada 10 Ogos 2018. Menurut Romly beliau membawa hasrat Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk semua Reformis di satukan dibawah satu bumbung. Dalam pertemuan tersebut kesepakatan telah dicapai bagi memenuhi hasrat DSAI itu, dan persetujuan untuk menamakan pakatan reformis itu sebagai Angkatan Reformis Malaysia atau ringkas ARM.

Pada 14 Ogos 2018 itu - jam 8.30 malam dengan inisiatif beberapa orang reformis di Dewan Reformasi Restoran Amjal Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur telah diadakan satu pertemuan reformis dari pelbagai kumpulan termasuk wakil dari beberapa buah negeri. Walau pelbagai pendapat di lotarkan akhirnya pemuafakatan telah di capai dan tertubuhlah sebuah NGO yang dinamakan Angkatan Reformis Malaysia atau ringkasnya ARM bagi merealisikan hasrat bapa reformis Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah mencetuskan gerakan reformasi pada 1998 ketika beliau dipecat dari kabinet yang ketika itu beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Kesepakatan juga telah dicapai dimana ARM akan didaftarkan dan satu Majlis Makan Malam dan Konvensyen Reformis akan diadakan di Pulau Pinang pada 15 September depan. Untuk tujuan pendaftaran sebuah perlembagaan telah di rangka untuk diteliti dalam masa terdekat dalam suatu program yang akan di adakan tidak lama lagi.

Semoga kewujudan ARM akan menjadikan sebuah gerakan reformis yang mantap dan segani oleh kawan dan lawan.

Ada beberapa suara yang kurang selesa dan tidak berpuashati dengan penyatuan ini. Otai dengan Otai Reformis '98nya, Dalam Pro98 juga ada yang merasakan penyatuan ini tidak memberi makna kepada mereka.Tetapi sebenarnya penyatuan ini adalah langkah awal ke arah menamatkan kemelut yang tak menentu dan akan melahirkan sebuah badan yang akan diiktiraf oleh kerajaan yang ada, juga membolehkan bantuan di salurkan secara sah kepada gerakan reformis di negara ini. Pendaftaran juga akan membolehkan akaun bank dibuka dan itu akan membolehkan sumbangan di pohon dari sesiapa atau pihak-pihak yang boleh diminta bantuan dan ini juga akan membolehkan ARM mengetahui siapa yang sudi membantu gerakan reformasi dapat dikesan dengan mudah.

Dalam Angkatan Reformis Malaysia (ARM) akan diwujudkan Ahli Kehormat yang akan dipilih dan dilantik dari mereka yang berbakti kepada persatuan ini. Mereka yang memberikan sumbangan besar dalam apa bentuk sekalipun akan diberikan pengiktirafan untuk menjadi Ahli Kehormat, samaada memberi bantuan dari segi kewangan atau apa saja sumbangan yang akan membolehkan nama dan dan imej ARM dikenali.

Disamping itu dengan adanya ARM ini maka kebajikan reformis akan dapat dijaga. Ramai yang rasa terpinggir, perjuangan dan pengorbanan mereka dilupakan. Yang sudah pergi mengadap ilahi, keluarga mereka langsung tak diambil peduli. Sedangkan keluarga merekalah yang merelakan mereka turun padang setiap kali tenaga mereka diperlukan dalam setiap gerakan dalam siri memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Tetapi setelah berjaya menawan Putrajaya, reformis hampir-hampir dilupakan. Orang-orang muda yang diangkat menjadi pemimpin pun kebanyakan merasakan mereka naik kerana usaha mereka semata-mata. Dan yang sedihnya majoriti dari pemimpin-pemimpin lama, yang kini sudah  menjadi menteri dan exco negeri, melupakan langsung jasa-jasa reformis yang pernah ditahan, digari, disumpah seranah, ditangkap, disembur gas pemedih mata, dilokap, di ISAkan dan bermacam-macam lagi tindakan keras dan kejam telah diambil kepada reformis, tetapi akhirnya reformis di biarkan begitu sahaja. 
 
Apakah ini dosa dan salahnya reformis sehingga di pinggirkan sebegitu rupa? atau adakah salah pemimpin kerajaan kini yang dulunya dikenali sebagai pihak pembangkang?. Sukar nak di tentukan salah siapa,  Reformis yang berpecah belah dan sering mementingkan diri mungkin juga menjadi punca kepada ketidakpedulian pemimpin terhadap reformis atau silap pemimpin-pemimpin lama yang menjadi rakan reformis tidak dipedulikan nasib reformis yang kurang bernasib baik. Dengan sebab itu, penubuhan ARM adalah bertujuan untuk mengembalikan suasana saperti dulu semula. Mungkin tidak hundred percent tetapi kalau menjadi sehingga 60 persen pun sudah memadai rasanya.

Walau apa pun, dengan adanya Angkatan Reformis Malaysia (ARM) yang ditubuhkan bagi membela nasib dan kebajikan reformis maka akan terus hiduplah sebuah badan yang mengambil peduli suasana keadilan di negara Malaysia tercinta ini. Kita sentiasa mengamalkan prinsip "Check & Balance".

Friday 3 August 2018

SLP - SMART LEASING PARTNER

Memiliki kereta percuma menjadi tag line kepada InterludeAuto yang menyediakan beberapa program bagi membantu pelanggan mendapatkan yang terbaik dalam memiliki kereta yang menjadi keperluan dalam kehidupan seharian. Selain dari itu, ada yang ingin mencari kerja sambilan demi menambah pendapat akibat keadaan ekonomi yang tak menentu sekarang ini.

Selain dari Skim Kereta Jimat yang menawarkan potongan 40% potongan dari harga pasaran diluar sana, InterludeAuto juga menawarkan program SLP - Smart Leasing Partner atau Rakankongsi Kereta Sewa yang memberi peluang kepada pelanggan untuk memiliki kereta tanpa perlu mengeluarkan duit poket sendiri atau boleh dikatakan sebagai kereta percuma (free) serta boleh pula menambah pendapatan setiap bulan.

Tentu anda akan hairan, bagaimana boleh mengguna dan memiliki kereta tanpa wang muka serta bayaran bulanan? Pelik bin ajaib namun demikian ianya sesuatu yang telah ada dipasaran sejak lebih setahun lalu dan ramai yang sudah dapat memiliki dan menggunakan kereta percuma ini walaupun sebenarnya mereka membayar kereta tersebut dengan menggunakan hasil dari perkongsian perniagaan kereta sewa di bawah program SLP InterludeAuto itu. Nak tau bagaimana sila buat temujanji dengan Pengarah Urusan atau Pengurus Besar Interlude Auto melalui wakil InterludeAuto iaitu Akhi Nosa Iskandar @011-11851516 atau 017-3515161. 
Syarat Utama anda mestilah kakitangan kerajaan bergaji minima RM1,500.00 sebulan atau anda pekerja swasta yang bergaji minima RM2,000.00 sebulan, dan nama anda bersih (tiada CTOS dan CCRIS), anda layak untuk membuat permohonan menjadi Rakankongsi Kereta Sewa ini. Kalau anda nak memulakan perniagaan kereta sewa, anda memerlukan modal ratusan ribu RM dan pengurusannya juga amat susah dan berisiko tetapi dengan Program SLP ini semua pengurusan akan di buat oleh pihak Interlude Auto dan anda juga akan dapat mengguna dan memiliki kereta idaman yang layak dengan jumlah gaji anda. Anda juga boleh mendapat pendapatan juga hasil dari perkongsian anda itu. InterludeAuto juga akan memberi jaminan: tiada risiko yang akan anda tanggung; 
rosak, kecurian dan kehilangan kereta semuanya akan ditanggung oleh pihak InterludeAuto cuma sebagai rakankongsi anda hendaklah memberikan kerjasama selaku rakankongsi. Setakat ini sudah beratus-ratus rakankongsi sudah yang terlibat dalam SLP ini, semuanya berpuashati. Untuk memberikan pencerahan kami sedia menemui anda di mana saja dan juga pada bila-bila masa. Atau anda boleh ke Interlude Auto Sdn. Bhd. di Equine Industrial Park, Seri Kembangan Selangor. Anda akan di berikan pencerahan semasa pertemuan itu.
Bagi yang ingin menambah pendapatan anda boleh menjadi wakil InterludeAuto untuk memasarkan kereta dibawah Skim Kereta Jimat (SKJ) serta Smart Leasing Partner (SLP). Pendapatan lumayan, kerja anda hanya memperkenalkan pelanggan yang berpotensi kepada InterlideAuto Sdn. Bhd. kecuali anda sudah mahir memberikan pencerahan mengenai program-program yang di tawarkan oleh InterludeAuto.

Monday 30 July 2018

PENERBITAN BUKU GERAKAN REFORMASI MALAYSIA

Sudah lama sebenarnya Akhi tidak menulis tetapi sejak kebelakangan ini minat untuk merakamkan apa yang telah di lalui sepanjang 20 tahun dalam pergerakan reformasi hingga Akhi mendapat amanah menjadi Setiausaha Otai Reformis '98, rasa untuk menulis kembali berputik.
Dorongan untuk menerbitkan buku adalah, apabila menatap buku bertajuk Aris Aziz yang telah diusahakan oleh Rakan Sekampung Akhi, Saudara Raduan Norudin RN sekarang menjadi Penolong Pengarah Senireka Kanan, Istana Budaya. Akhi memanggilnya Duan sahaja....
Semasa minum kopi di bawah flat Lembah Permai Ampang bersama Duan, tercetus idea untuk menerbitkan buku yang berlatarbelakangkan kehidupan dan perjuangan reformis yang berjuang sejak tahun 1998. Pada ketika itu juga Duan bergegas mengambil buku terbitan beliau dari keretanya, selepas menatap buku bertajuk Aris Aziz sebuah catatan dan kompilasi biografi dengan bahasa dan susun grafik yang menarik, terasa nak menulis semakin membakar semangat. Bahan-bahan rasanya tidaklah sesusah mana kerana Akhi mengimbau kembali even setiap Khamis Malam Jumaat di Istana Segambut kediaman Anwar Ibrahim dan Kak Wan, dalam slot 'bicara santai' even tersebut sahaja sudah mampu menjadi bahan untuk sebuah buku setebal lebih 400 mukasurat. Ditambah dengan pengalaman Akhi selama 20 tahun dalam suka duka Gerakan Reformasi telah menyuburkan rasa untuk kembali menulis.
Semalam (30 Julai) Akhi temui Tuan Haji Anuar Salleh, sahabat Anwar sejak dari zaman pergerakan mereka dalam ABIM pada tahun 1972, cerita Haji Anuar Salleh ini amat menarik sekali, banyak yang di sentuhinya... dari kesah Azmin Ali membawa kepada pengalamannya bersama Ustaz Zulkifli Nordin yang telah berpaling tadah dari Anwar hinggalah kepada Ibrahim Ali yang menulis buku yang memburukkan peribadi Pak Sheikh (gelaran kawan-kawan kepada Anwar Ibrahim)....Dan hari itu kami mengakhiri pertemuan itu dengan menikmiati makan tengahari bergulaikan masak lemak ikan patin Che' Ta di Prima Sri Gombak. Terimakasih Tuan Haji Anuar Salleh.


ANUAR SALLEH & RADUAN NORUDIN RN
Selepas itu Akhi terus bertemu Duan di pejabatnya di Istana Budaya berbincang mengenai perjalanan dan urusan bagi menerbitkan buku yang akan kami  berikan nama "Gerakan Reformasi Malaysia - Seni Menumbangkan Regim Kleptokrasi". Pertemuan itu berakhir dengan membuat FlowChart yang bermula dari tarikh 10 Ogos dan dijangka pada bulan Oktober ini akan dapat disiapkan. Pelancaran buku disasarkan akan dilaksanakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim setelah siap dicetak. InsyaAllah.
Untuk menerbitkan buku ini Akhi juga telah menalipon sahabat-sahabat Anwar, Dr. Hassan Jamil dan Sheikh Abdul Kadir dari Negara Brunei Darul Salam. Beliau adalah Timbalan Pengarah Jabatan  Sejarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, beliau juga bertanggungjawab sebagai Penyelidik dan Penterjemah Bahasa Arab di negara tersebut. Beliau telah menjadi kenalan Dato' Seri Anwar sejak zaman beliau menuntut lagi, sementara Dr. Hassan Jamil pula mempunya banyak kenangan manis dan rapat dengan Anwar sehinggakan beliau pernah berutusan surat dengan Dato' Seri semasa di penjara. Seorang lagi sahabat Akhi ialah Hasni Abbas yang turut terlibat dalam acara "Hari Khamis Malam Jumaat" di Istana Segambut telah Akhi jemput menulis dalam buku ini semoga dengan adanya beliau akan dapat mewarnai buku yang Akhi kelola - terbitkan dari pelbagai sudut. Penglibatan Saudara Hasni abbas dalam aktiviti kesatuan sekerja di negara ini akan memberi suatu sudut yang berbeza dengan penulis lain dan beliau menyatakan bahawa topik yang akan beliau paparkan adalah perbezaan antara gerakan reformasi Malaysia - Indonesia. Itu adalah hasil perbualan Akhi dalam talian telefon pada sebentar tadi (1 Ogos 2018).
Selain dari mereka Akhi juga akan menjemput YB. Fuziah Salleh, YB. Rodziah Ismail, YB. Saari Sungib, YB. Ronnie Liu, Saudara Haili (Pencipta Logo Otai Reformis '98) dan seorang reformis dari kaum India sebagai penulis jemputan.


Semoga apa yang Akhi hasratkan ini akan mendapat dokongan dari mereka yang terlibat dan seterusnya akan ditaja penerbitannya oleh mereka-mereka yang sudi dan mahu melihat terbitnya sebuah buku yang di hasilkan oleh seorang reformis jalanan.