Thursday 30 October 2014

TADIKA DEWAN : KENANGAN TERINDAH BERSAMA MASYARAKAT KAMPUNGKU

Ramai yang tahu dan dengar tentang Tadika Kemas atau Tabika (Taman Bimbingan Kanak-Kanak) tetapi nama Tadika Dewan mungkin agak asing dari pengetahuan para pembaca.

Tadika Dewan seperti juga tadika yang lain, menempat dan memberi didikan pada anak-anak dibawah umur 6 tahun cuma Tadika Dewan ini adalah kerana ianya di buka di Dewan Orang Ramai kampung kami, yang dinamakan Kampung Sayong Lembah di Bandar Diraja Kuala Kangsar. Tadika ini diwujudkan semasa akhi memimpin Gerakan Belia 4B Cawangan kampung kami.

Inilah foto yang menjadi sejarah dan kenangan manis Tadika Dewan

Pergerakan Belia sebenarnya sudah lama wujud di kampung akhi itu tetapi bukan Belia 4B tetapi Angkatan Pemuda Pengkalan Tambang khusus untuk Pemuda yang dipimpin oleh Allahyarham Hamdan dan Angkatan Pemudi Pengkalan Tambang yang dipimpin oleh Cikgu Norizan Abdul Rahman, pemuda dan pemudi mempunyai badan atau persatuan belia berasingan. Bila akhi terlibat kedua-dua badan ini telah bersetuju untuk digabungkan. Inisiatif ini diambil bersama dengan kerjasama Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan Daerah masa itu, Encik Abdul Rahman Ahmad (sekarang Datuk). Dengan inisiatif beliau juga kemudiannya persatuan kami bergabung dengan Gerakan Belia 4B Malaysia.

Masa itu seluruh warga kampung bersatu bila melibatkan program kemasyarakatan walaupun dari segi ideologi politik kampung akhi meriah dengan kepelbagaian ideologi politik. Kalau sekarang ada UMNO, tPKR, PAS dan DAP tetapi dulu meriah dengan adanya UMNO, PAS, DAP dan Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Murid Tadika Dewan: Badrol Hisham, Hassan Yus, Nasir Jepun & Lelawati







Tradisinya, rata-rata di kampung-kampung melayu pada ketika itu akan ada dua parti saja yang bersaing mencari pengaruh iaitu UMNO dan PAS tetapi di kampung akhi agak lain keadaannya kerana Parti Sosialist Rakyat Malaya (PSRM) bertapak kukuh malah beberapa orang kuatnya ada dikampung kami malah Setiausaha Negeri Perak pun ada dikampung akhi itu. Namun demikian bila tibanya penganjuran program kemasyarakatan kesemua pemimpin-pemimpin sama ada UMNO, PAS atau PSRM akan utuh bersatu menjayakan program kemasyarakatan yang dianjurkan itu. Dan dalam keadaan sedemikian pergerakan belia menjadi tunjang yang amat penting dalam menyatukan semua mereka itu. Dan realitinya akhi dan Jawatankuasa pergerakan belia memilih pemimpin dari ketiga-tiga badan-badan politik itu untuk menjadi anggota Lembaga Penasihat pergerakan belia kami.


Bersama Kamal Ariffin (Kiri) dan Hisham Albakri (Kanan)











Kembali kepada Tadika Dewan yang menjadi topik perbincangan kita kali ini, ianya mempunyai seramai lebih kurang 25 orang murid, kebanyakan murid tadika itu kini sudah berusia lebih 40 tahun.

Sekarang, setelah lebih 40 tahun, akhi dapat berjumpa semula dengan mereka yang pernah menjadi murid-murid Tadika Dewan itu malah ada diantara mereka yang bergiat bersama akhi dalam Persatuan Anak-Anak Rantau Sayong Lembah atau dikenali sebagai Perantau Sayong Lembah di Facebook. Perantau Sayong Lembah ini yang akhi dan beberapa orang anak-anak rantau menjadi pengasasnya menjalankan kegiatan kebajikan sesama sendiri dan juga untuk membantu kampung dalam beberapa aspek. Program yang pernah dianjurkan ialah Perjumpaan Hariraya, Pungutan derma untuk menggantikan karpet masjid, penganjuran program motivasi untuk anak-anak kampung yang masih bersekolah, menjayakan kurban sempena hariraya kurban, mencari anak-anak hilang dan berbagai lagi.


Rakan Sekampung: dari kiri Alkhushairi,
Zainuddin Yatim & Tajuddin Rahman
Beberapa orang murid yang pernah akhi jumpa semula dan telahpun berkerjaya adalah Nasirudin Din (Nasir Jepun), Kamal Ariffin Kamaruzaman, Lela Wati Zahari. Badrol Hisham. Hisham Albakri dan beberapa orang lagi. Alhamdullillah mereka masih lagi menghargai dan memanggil akhi sebagai Cikgu, dan ada juga yang menggelar akhi sebagai Cikgu Beso (Besar) Tadika Dewan.

Dan akhi sama sekali tidak pernah lupa zaman belia yang dipenuhi dengan warna warni, termasuk juga rakan-rakan seperjuangan seperti Hajar Rashdi, Zakiah dan Zainal Amri Jahidin (Cikgu Jidin), Hasnah Dawam, Khadijah Osman Puteh, Azean Khusairi dan Asma Zainab Omar Baki (kedua-duanya menjadi guru Tadika), Cikgu Jan (Norizan Abdul Rahman), Zainuddin Mohd Yatim, Burhanudin Ali,Yusop Rahman, Roslan Rashdi. Isa Ahmad (sekarang Haji) dan adiknya Ramli Ahmad, Rosli Abdulah, (Yang Dollah), Ami Meor Kasah, Tajuddin Abdul Rahman dan beberapa orang lagi yang akhi hanya ingat wajah tetapi dah lupa nama.

Yang masih menetap di kampung adalah Mat Salaam (sekarang Imam) dan Isterinya Badariah Meor Kasah, Hishamudin Mohd Ali, Mazlan Pakngah Ni sementara Alkhushairi Mohd Nor sekarang menetap di Tambunan dan sering berulang alik dari Sabah ke Semenanjung kerana anak-anaknya dan bekerja dan menetap di semenanjong belaka.

Setahu akhi yang telah kembali ke rahmatullah ialah Omar Mydin, Omar Razak, Fauzi Rashdi dan Ahmad Jamili Ramli. Omar Razak terlibat dalam trajedi sampan karam menjelang hariraya bersama anak-anaknya sejumlah 8 orang kesemuanya dan Ahmad Jamili Ramli meninggal dalam satu kemalangan jalanraya di Rawang ketika masih berusia remaja.


No comments:

Post a Comment