KOTAK FIKIR RAHMAH SAAD













21 OKTOBER 2014
Untuk memasak Asam Pedas tidaklah susah, bahannya hanya cili kering, kunyit hidup, bawang merah, bawang putih diperasakan dengan garam, asam dan daun kesom serta minyak untuk menumis.
Saya pernah rasa sekali secara kebetulan, pes yang belum ada asam garam. Rasanya pahit sangat, yang ajaibnya, apabila diperasakan dengan garam dan air asam yang secukupnya, rasanya sangat sedap, sampai orang menggilainya. Semuanya kerana ia diadun dengan sempurna, tidak ada yang terlebih dan terkurang.



Dalam perkahwinan pun begitu juga. Ia adalah adunan dua personaliti yang merangkumi tanggungjawab, kemahiran , idea dan minat yang menjadikan perkahwinan itu berjaya. Kadang kala perkahwinan itu sangat pahit, namun ia boleh menjadi sangat asyik apabila diperasakan dengan kasih sayang, saling bertolak ansur dan hormat menghormati.

Pun ia tidak datang dengan sendiri. Untuk masak Asam Pedas seperti rasa orang Johor masak, saya mengambil masa yang lama, apatah lagi dengan perkahwinan yang melibatkan pelbagai aspek , seperti budaya, fahaman, latar belakang dan pelbagai lagi, sudah tentu tidak mudah untuk mengadunnya.

Dengan tidak pernah merasa kalah, akhirnya apa yang pasangan suami isteri idamkan akan dapat tercapai. Wallahu'alam.


21 OKtober 2014
Pada zaman saya budak-budak dulu, boleh dikatakan setiap rumah ada bela anjing termasuklah rumah saya. Tok Wan saya banyak bela kambing, anjing ini untuk membantu menjaga kambing dan menghalau babi hutan yang masuk ke kampung; Begitu juga sebagai pengawal rumah melalui salakannya.
Saya memang 'berkawan' dengan anjing ini yang terakhir bernama John. Begitu pun, tidak pernah menyentuh atau membelai atau lebih teruk memeluk anjing tersebut. Saya memang tahu anjing tidak boleh disentuh, John pun tidak manja melampau seperti memanjat tuannya. Kami berkawan tetapi ada batasnya. Semasa kecil saya tidak ada kawan, dengan dialah saya berkawan selain bermain dengan anak-anak kambing. Kami boleh main kejar-kejar tanpa bersentuhan.
Apabila melihat orang memeluk anjing, ini sudah 'too much'. Saya yang sayangkan John pun tak pernah peluk, inikan pula orang yang tidak pernah bela anjing. Ajaran bahawa anjing itu najis dan haram, tidak tergamak untuk memeluknya. Apakah ruginya kalau tidak boleh menyentuh anjing sehingga perlu adakan kempen? Hidup-hidup orang Melayu diperbodohkan dan kempen ini berjaya meningkatkan keegoaan penganjur.

__________________________________________________________________________________________



19 OKTOBER 2014
Kita tidak mengenali diri kita sehinggalah kita berkawan dengan pelbagai kelompok manusia dan apabila kita berkahwin. Daripada pergaulan ini, barulah kita tahu sama ada kita ini mesra, celupar, suka gaduh, tidak boleh bertolak ansur, penyabar dan pelbagai lagi.
Secara ringkas, kita boleh mengenali diri kita melalui jumlah rakan yang kita ada, adakah mereka suka dengan kehadiran kita , berapa kerap kita bergaduh dan bertengkar, bagaimana sikap kita terhadap sesuatu keadaan, semuanya boleh mencerminkan diri kita.

Namun begitu tidak ramai rakan yang sanggup menegur kita jika perangai kita mereka tidak suka. Mereka lebih memilih untuk berdiam daripada menegur kerana lebih selamat.
Cermin bagi diri saya adalah suami dan anak-anak. Mereka berani menegur mana yang tidak elok atau tidak betul yang saya lakukan. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan mengubahnya kerana mereka lebih 'nampak' diri saya daripada saya sendiri. Saya berani mengaku saya tidak betul dan mengubahnya, kerana saya ingin bukan sahaja kelihatan baik tetapi benar-benar disenangi.
Apabila ada orang menegur kita, terimalah dengan positif terutamanya pasangan hidup kita atau ibu bapa kita dan berubahlah demi kebaikan. Orang yang menegur kita, adalah orang yang sangat prihatin dan sayangkan kita dan mereka ingin melihat kita menjadi lebih baik dan selesa untuk didekati.


19 OKTOBER 2014
Setiap hari Sabtu mesti ada masalah, pekerja tak datang kerja. Macam-macam alasan, alasan klise. Setelah berbincang, saya mengambil keputusan untuk mencutikan sahaja hari Sabtu dan hari-hari bekerja lain, ditambahkan satu jam untuk menggantikan cuti hari Sabtu itu. Selesai masalah.
Dalam menyelesaikan masalah, mengenalpasti isu sebenar adalah penting. Dalam kes yang saya hadapi ini, bukan masalah pekerja tak datang, tetapi masalah pekerja memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah mereka seperti membayar bil, pergi ke bank, balik kampung dan pelbagai lagi. Lagi pun, bekerja hingga pukul satu, hanya penatkan badan datang bekerja. Setelah hari Sabtu dicutikan, masalah pekerja tak datang kerja tidak ada lagi dan saya pun tak pening kepala dan sakit hati. Syarikat saya antara yang terawal tidak bekerja pada hari Sabtu.
Begitulah juga dalam masalah lain dalam hidup kita, kenal pasti apa sebenarnya masalah yang dialami dan atasi masalah tersebut. Apa yang kelihatan pada mata kasar ialah tanda-tanda sahaja, contohnya apabila suami atau isteri berselingkuh, masalah yang sebenarnya mungkin, kurang perhatian, diabaikan atau dikhianati. Tanpa menyelesaikan akar umbi , masalah tidak akan berakhir. Membiarkan sahaja masalah tanpa dirawat, akan menyebabkan keadaan lebih rumit. Wallahu'alam.
18 OKTOBER 2013
Orang yang paling berpengaruh dalam hidup kita ialah diri kita sendiri. Diri kitalah yang sering berkata-kata sama ada memujuk, menenangkan, menjadi batu api, merasionalkan, merangsang sehingga kita bertindak apabila sesuatu keadaan itu berlaku. Walaupun seseorang itu kelihatannya seperti pendiam, atau membisu, tetapi ‘inner self’nya sedang berdailog dengan dirinya sendiri. Inner self inilah yang membuatkan kita rasa marah, sedih, menangis atau ketawa.
Mengawal inner self sangat penting dalam mengawal tindak tanduk kita. Jika saya ingin berbuat sesuatu tindakan, inner self saya akan berkata kepada diri saya, “Jangan buat, tak berbaloi, biar sajalah, bukan awak rugi apa-apa”, atau kadang-kadang inner self saya berkata, “Kau buat, kau lawan, dia ingat awak siapa…” Kita biasanya mengikut apa yang inner self suruh sama ada yang positif atau negatif.

Hasil pembacaan dan pengalaman, boleh mengawal inner self bertindak dengan matang sesuai dengan situasi yang kita tempuhi. Orang yang pendiam atau memendam rasa, biasanya bermonolog dengan dirinya . Bahayanya kerana tidak ada sesiapa yang menyanggahnya kecuali dirinya sendiri, berbanding dengan orang mengeluarkan isi hatinya, yang mudah bagi orang lain menasihatinya, memberi pandangan atau berdailog dengannya.

Oleh yang demikian, amat penting bagi kita ‘mendidik’ inner self agar ia sentiasa memujuk diri tidak bertindak liar . Ia akan sentiasa memberitahu dan mengingatkan diri tidak membuat itu dan ini, jangan begitu, tak boleh, tak payah sehingga diri kita akur dengan kehendak inner self dan sekaligus melindungi kita daripada beberapa keadaan seperti pertengkaran, pergaduhan dan seumpamanya. Wallahu’alam.

__________________________________________________________________________________________
 17 OKTOBER 2014
Pertama kali membuat kerja kawin, banyak perkara yang saya baru tahu. Dengan budget yang sangat terhad, kami berjaya melangsungkan perkahwinan anak kedua dalam majlis yang serba sederhana. Satu yang melegakan, ada sumbangan dari tetamu, dapatlah cover sedikit perbelanjaan yang telah dikeluarkan. Paling sedikit pun, modal RM10,000.00 mesti ada untuk menganjurkan majlis perkahwinan.
Saya pernah menghadiri undangan di Jakarta, pada kad jemputan itu ditulis pesanan yang bermaksud tetamu tidak perlu membawa hadiah. Namun dalam majlis tersebut disediakan satu meja dengan ‘tabung’ yang berhias cantik untuk tetamu memasukkan sumbangan mereka dan sebuah buku untuk mencatatkan nama tetamu tersebut. Keadaan yang sama juga diamalkan di sesetengah tempat di negara kita. Tujuannya supaya tuan rumah dapat membalasnya apabila tiba giliran tetamu itu pula membuat kerja kawin.

Di kampung masih diamalkan memberi barangan seperti telor, gula, beras, daging, kuih muih atau kuih kering di kalangan saudara mara dan jiran tetangga, agar dapat mengurangkan sedikit beban tuan rumah. Dengan salam keruk, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan.

Berapa yang tetamu nak bagi salam keruk? Pada waktu dulu, belum ada sampul seperti sekarang, mesti salam betul-betul ada duit dalam genggaman, paling sedikit pun RM5 . Sekarang sudah ada sampul, tetamu sudah tidak fikir lagi tentang jumlahnya, beberapa pun boleh, termasuklah sampul kosong. Di majlis-majlis yang diadakan di rumah atau di dewan, saya bagi sedikit sumbangan tetapi jika buat di hotel , saya tidak beri. Tak tahu nak beri banyak mana, RM10.00 tak setaraf dengan tempatnya, nak bagi RM50.00 tak mampu. Lagipun, tentulah tuan rumah mempunyai budget yang besar, jika tidak tentu tidak buat di hotel yang kos per orang RM50.00 ke atas.
Yang pentingnya bukan majlis itu kecil atau besar, keberkatan majlis tersebut yang penting, sebagai satu permulaan yang baik kepada sebuah perkahwinan.

__________________________________________________________________________________________

17 OKTIBER 2014
Kad jemputan sudah bertalu-talu datang walaupun belum musim cuti sekolah. Jemputan ada yang jauh, ada yang dekat. Oleh kerana mereka datang sendiri, dan ada yang bertelefon, kena pergi jugalah.
Saya sudah 15 tahun tidak buat majlis perkahwinan. Dah rindu dengan salam keruk. Semasa anak-anak saudara kami berkahwin, suami saya wakil keluarga sebab bapa mereka (abang HS) sudah meninggal dunia. Itulah pertama kali saya tahu, ketika bersalam itu ada ‘benda’ dalam gengaman dan orang yang menyambut salam itu kenalah ‘keruk’ kalau tidak ‘benda’ itu akan jatuh.


Menyiap majlis perkahwinan sangat mengembirakan bagi saya. Oleh kerana pada waktu itu, anak-anak dara saya masih kecil, tidak banyak yang mereka boleh bantu. Saya uruskan sendiri. Pengalaman menguruskan seminar dan jamuan-jamuan di pejabat memudahkan persiapan ini.

Perkara paling penting ialah mencari tempat untuk membuat majlis, biarlah yang mudah untuk tetamu datang dan sama ada untuk membuat siang atau malam dan waktunya. HS mendapat satu jemputan ini, sudah bincang berapa hari, kami nak pergi pukul berapa. Tempatnya di tengah-tengah bandaraya dan waktunya dari 6.30 petang hingga 10.30 malam. Berebut dengan waktu solat maghrib. Nak pergi awalkah atau nak pergi selepas maghrib? Harap-harap free sitting.

Yang keduanya, katering mana nak tempah? Sebaiknya ambil katering yang dekat, sebabnya? Pernah terjadi pada majlis perkahwinan sahabat kami, apabila nasinya kehabisan, orang yang nak hantar nasi itu tinggal jauh dan terperangkap dalam kesesakan. Tuan rumah order nasi dari katering yang dekat, akhirnya dua-dua katereer hantar nasi, tetamu sudah balik semua dengan perut lapar. Anaknya pula ‘the only one’, nampak jelas kecewa si bapa.

Majlis perkahwinan adalah acara keluarga. Ibu bapa dan pengantin mempunyai impian sendiri bagaimana majlis ini akan berlangsung, ada tema, ada konsep, namun begitu tidak perlulah ditonjolkan sangat bagaimana pasangan itu jatuh cinta , siap dengan video sejak zaman pengantin tu masih meniarap. Yang hadir bukan rakan-rakan pengantin sahaja, ramai rakan ibu bapa yang sudah tua-tua. Saya rasa malu sendiri apabila menonton video percintaan itu.
Saya pun sudah menanam impian, semua sahabat FB akan saya jemput…insya-Allah , kalau ada rezeki saya dapat menantu…

__________________________________________________________________________________________
17 OKTIBER 2014
Orang yang paling berpengaruh dalam hidup kita ialah diri kita sendiri. Diri kitalah yang sering berkata-kata sama ada memujuk, menenangkan, menjadi batu api, merasionalkan, merangsang sehingga kita bertindak apabila sesuatu keadaan itu berlaku. Walaupun seseorang itu kelihatannya seperti pendiam, atau membisu, tetapi ‘inner self’nya sedang berdailog dengan dirinya sendiri. Inner self inilah yang membuatkan kita rasa marah, sedih, menangis atau ketawa.
Mengawal inner self sangat penting dalam mengawal tindak tanduk kita. Jika saya ingin berbuat sesuatu tindakan, inner self saya akan berkata kepada diri saya, “Jangan buat, tak berbaloi, biar sajalah, bukan awak rugi apa-apa”, atau kadang-kadang inner self saya berkata, “Kau buat, kau lawan, dia ingat awak siapa…” Kita biasanya mengikut apa yang inner self suruh sama ada yang positif atau negatif.
Hasil pembacaan dan pengalaman, boleh mengawal inner self bertindak dengan matang sesuai dengan situasi yang kita tempuhi. Orang yang pendiam atau memendam rasa, biasanya bermonolog dengan dirinya . Bahayanya kerana tidak ada sesiapa yang menyanggahnya kecuali dirinya sendiri, berbanding dengan orang mengeluarkan isi hatinya, yang mudah bagi orang lain menasihatinya, memberi pandangan atau berdailog dengannya.
Oleh yang demikian, amat penting bagi kita ‘mendidik’ inner self agar ia sentiasa memujuk diri tidak bertindak liar . Ia akan sentiasa memberitahu dan mengingatkan diri tidak membuat itu dan ini, jangan begitu, tak boleh, tak payah sehingga diri kita akur dengan kehendak inner self dan sekaligus melindungi kita daripada beberapa keadaan seperti pertengkaran, pergaduhan dan seumpamanya. Wallahu’alam.

__________________________________________________________________________________________
15 Oktober 2014
Banyak sangat nak tulis, tak tahu yang mana satu nak tulis? Mengenai perkahwinan, motivasi, anak, bisnes?
Begitulah yang saya hadapi ketika meminta seorang tokoh seperti agama, guru, doktor atau motivasi menulis untuk majalah IBU . Terlalu banyak topik yang mereka tahu, hendak dipetik yang mana satu, mereka pun tidak tahu.
Sebagai editor saya memilih satu tajuk dan memberi garis panduan apa isi yang saya mahu agar penulis tersebut senang menulisnya dan tidak menerawang secara umum. Begitu juga kalau saya jemput penceramah untuk seminar yang majalah IBU atau Majalah USAHAWAN SUKSES anjurkan. Saya beri tajuk dan saya beri garis panduan apa yang dia perlu sampaikan supaya penyampaiannya tidak keluar tajuk, sekalipun penceramah itu sudah terkenal. Jika tidak dibantu dikhuatiri mereka tersasar apabila sudah asyik bercakap.
Saya pun pernah membantu beberapa orang doktor menghasilkan buku. Mereka adalah orang yang bijak pandai, diberi sedikit garis panduan, mereka sudah boleh menulis buku. Oleh kerana tiada masa untuk menulis, saya galakkan mereka menggunakan alat perakam , dan kemudian disalin semula oleh jurutaip saya. Ada juga saya editkan hasil ucapan mereka menjadi tulisan sesuai untuk dijadikan buku. Jika tidak diedit, tulisan mereka hanya sesuai untuk jurnal perubatan.
Jika anda ingin menulis buku, tetapi tidak tahu caranya, saya boleh membantu. Upahnya, semangkok ABC dan cucur udang Kemensah..

__________________________________________________________________________________________
14 Oktober 2014
Ada idea tetapi tiada jiwa hendak menulis. Kadang-kadang begitulah, keadaannya. Tulisan yang tiada jiwa akan terasa hambar dan tidak mendatangkan kepuasan kepada penulisnya, terasa ada yang tersangkut-sangkut dalam diri.
Idea? Tiada masalah, macam-macam boleh tulis. Semua yang dipandang, didengar, dibaca boleh memberi idea. Apabila idea dan jiwa bersatu, itulah saat yang sangat berharga. Malam ini jiwa saya tidak datang....selamat malam.

__________________________________________________________________________________________
8 November 2013:
"Saya telah beberapa kali mengikuti seminar motivasi tempatan dan juga antarabangsa yang harganya ratusan ringgit ( saya percuma) sekadar ingin tahu apa yang ingin disampaikan oleh penceramah ini. Peserta memang berapi semangatnya apabila dibakar oleh penceramah yang telah dibayar untuk itu. Saya yang telah melalui pengalaman berpuluh tahun berniaga, tak ada yang baru bagi saya. Cuma teori dan ilmu itu lebih tersusun dan disampaikan oleh orang yang pakar bercakap.

Saya pernah bertanya beberapa sahabat bagaimana mereka boleh berjaya sampai ke satu peringkat yang saya kagumi. Jawapannya ialah iltizam yang jitu untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih selesa, atau satu transformasi dengan hasrat untuk mengubah sesuatu keadaan hidup. 


Saya berniaga bukanlah atas desakan hidup yang susah, tetapi kerana desakan untuk memantapkan ilmu keibubapaan di kalangan ibu bapa muda yang kini sudah terpisah daripada keluarga induknya. Keibubapaan juga memerlukan satu ilmu, yang pada pandangan saya pada tahun 70-an tidak ada bahan bacaan seumpama itu. Dan menjadi satu kewajipan kepada saya sebagai penulis untuk menerajuinya. Pada waktu itu. tahun 1989 hanya Majalah IBU berada di pasaran dan kemudian diikuti Majalah CAHAYA MATA.


Kehidupan saya selepas melibatkan diri dalam industri ini sangat pahit, namun atas semangat itu, saya tidak berputus asa. Kadang-kadang timbul rasa, "kenapa aku menyiksa diri, sedangkan aku boleh hidup senang?" Tanpa iltizam yang kukuh, datanglah pakar motivasi yang hebat macam mana pun tidak akan berjaya. Ia hanya akan tinggal abu setelah apinya padam."
__________________________________________________________________________________________
11.11.13  9.30 MALAM ISNIN
Dalam budaya Melayu makan sireh sudah semakin pupus. Kesedaran kesihatan yang menggaitkan kapur dan gambir sebagai punca kanser mulut, menyebabkan generasi saya atau sebelum saya tidak lagi makan sireh. Namun, bagi masyarakat Myamar, makan sireh masih menjadi budaya mereka. Seawal umur 20 tahun, orang Myamar, lelaki dan perempuan akan makan sireh. Sireh seperti rokok, yang kalau tidak dikunyah selepas makan, terasa tidak puas. Demikian kata Yusof yang saya temui di hospital tadi pagi. Sebelum berpisah dia memberi saya selipat sireh. Langsung saya karang pantun ini.

Sireh sepiak berpinang muda
Sedap dibubuh secalit kapur
Kasih tidak memandang rupa
Biar buruk sayang tak luntur

Sireh diikat pinang sepiak
Nanti dilipat barangnya tujuh
Kasih yang dekat memang tak luak
Hati teringat orang yang jauh

__________________________________________________________________________________________
26 September 2014
Orang selalu puji restoran mamak, bukan restoran lagi ada yang tempat makannya separuh padang bola. Orang puji perkhidmatannya yang cepat, tehnya yang sedap atau roti canainya yang klas.
Saya tak boleh nak kata apa, memang betul. Saya berjaya membuka restoran yang kami idamkan sekian lama, berjaya bertahan selama 7 tahun. Jika tidak kerana suami saya ditimpa musibah, mungkin restoran ini kekal sehingga sekarang. Dia seorang PR yang sangat bagus, sehingga restoran kami penuh di sebelah malamnya.

Perkhidmatan kami sama seperti mamak cepat dan sedap. Contohnya, seorang klien Cina sanggup tunggu saya sampai dari Muar nak upah masak udang masak tomyam yang di pancing. Orang suka mi goreng mamak, mi hailam, yang orang Cina kata macam Cina masak dan juga Mi Bandung Muar. Pada sebelah malam, selain Asam Pedas, ada hidangan ala carte.

Saya menjadi peneraju utamanya memasak panas-panas untuk pelanggan. Setakat nak masak nasi goreng paprik atau Nasi Pattaya, tidak terkial-kial lagi.

Jadi apa masalahnya?

Orang ramai tak ada pekerja. Saya masak, seorang buat air dan anak saya ambil order. Mencari pekerja yang tidak mahir pun sangatlah payah. Hari ini datang, esok dah lari. Saya dapat tahu kemudiannya, memang begitulah senario peniaga Melayu yang membuka restoran.

Kenapa restoran mamak boleh?

Pergilah ke kedai mamak, pekerjanya lebih ramai daripada pelanggan. Kebanyakan pekerja datang dari negeri asal, yang belum pandai cakap Melayu. Mereka di tempatkan di sebuah rumah, biasanya di atas restoran tersebut. Gajinya, katanya dibayar apabila mereka hendak pulang ke negeri asal.

Perniagaan mereka dibiayai oleh persatuan mereka sendiri yang berkongsi modal untuk membuka restoran. Mereka membuka 24 jam untuk mengaup kembali modal yang telah keluar. Namun begitu, bukan semua berjaya ada juga yang tutup , dan bukan semua restoran Melayu gagal, ada juga yang berjaya. Sama ada berjaya atau gagal mana-mana restoran, adalah hasil pelanggan Melayu yang sanggup bersengkang mata hingga ke subuh yang hanya berganti gelas air suam. Itulah dunia yang pernah saya lalui.
__________________________________________________________________________________________
6 Oktober 2014
Saya pernah mengalami penyakit ini tetapi sudah sembuh setelah
terjumpa penawarnya,
Penyakit yang paling sakit, sakit hati
Penyakit yang paling kronik , sakit jiwa
Penyakit yang paling mabuk, sakit angau
Penyakit yang paling siksa, sakit rindu
Sakit segala sakit, sakit beranak


__________________________________________________________________________________________
7 Oktober 2014
Dalam perkahwinan, saya mengamalkan konsep keluarga tradisi di mana suami menjadi ketua keluarga. Semuanya menjadi tanggungjawab suami, saya hanya membantu. Dibesarkan dalam keluarga tradisi, saya mengidamkan tugas tersebut apabila saya berkahwin kelak.
Saya cemburu dengan seorang kawan saya ini yang membuat segala-galanya untuk suami. Makan pakai sudah tentulah, tugas-tugas lain seperti membayar bil, hantar dan ambil anak dari tuisyen dan menjenguk anak di asrama dia yanglakukan. Sehingga suaminya berkata"Tugas saya sebagai suami ni apa, kalau semua awak nak buat?"

Kawan saya ini bekerja tetapi dia mempunyai masa dan suka membuat semua kerja ini. Dia kasihan dengan suaminya yang tidak sempat membuat kerja-kerja tersebut dan apa salahnya jika dia yang berbuat demikian. Dia tidak suka bergantung kepada suami dalam membuat kerja-kerja yang dia boleh laksanakan Saya tidak boleh berbuat begitu, kerana saya tidak boleh memandu.

Segala yang isteri lakukan kepada suami, bukanlah sia-sia. Ia sangat besar ganjarannya di sisi Allah. Makan, pakai dan tempat tidurnya perlu diberi keutamaan, segala keperluannya lahir batin dipenuhi, menjadikan dia sentiasa damai ketika berada di rumah.

Berat? Selagi kita merasakan suami itu sumber kebahagiaan, kita akan dapat lakukan dengan gembira dan ikhlas. Selagi kita merasakan ia satu ibadah, tidak ada satu alasan pun untuk menghalang kita berbuat demikian. Wallahu'alam
__________________________________________________________________________________________
HATI MENYERAH
Aku terima apa saja
Yang datang kepadaku dari Dia
Tiada daya kumemilih-milih 
Reda dengan hukum-Nya
Diuji dengan qada’ dan qadarnya
Sepahit mana pun kurasa
Dalam mencari akhirat
Kuserahkan kepada sang Pencipta
Kumencari nur dan petunjuk jalan
Menjadi orang terpilih menempuh ujian
Janji-janji Rasulku ada syurga di sisi-Nya
Yang kucintai kelak akan sirna
Sebuah pemberian yang tidak berharga

Aku terima ujianmu
Hanya sekelumit buatku
Sungguh aku tidak mampu
Bukan sehebat ujian buat Rasullullah
Hidupnya getir saat menyebarkan risalah
Hatinya perih diuji dengan sekian banyak musibah
Hanya kepada Allah berlindung dan menyerah

Kuyakini benarnya
Yang lemah mendambakan Yang Maha Pencipta
Yang fana mendambakan Yang Maha kekal
Yang fakir mendambakan Yang Maha Kaya

RAHMAH MS
081014
8.40 PAGI RABU
SERI GOMBAK
__________________________________________________________________________________________
8 Oktober 2014
Semalaman Putih mengiau, sakit hendak beranak mungkin. Saya pun tidak dapat tidur , kesian. Dia tergolek di hujung kaki dan saya mengurut dan merasa perutnya. Dia memandang saya, dan saya berkata kepada Putih, semua makhluk yang beranak mesti rasa sakit ini.
Semua yang bakal bergelar ibu akan merasai saat ini, sakit bersalin. Sakit yang tiada tolak bandingnya, sakit yang paling sakit, tetapi pada waktu ini sudah jarang kedengaran ibu maut melahirkan zuriatnya.
Sakitnya sakit beranak, namun tidak ada ibu yang serik untuk bersalin lagi. Kalau ada pun yang menjarangkan kelahiran bukan kerana serik, tetapi faktor-faktor lain seperti kesihatannya, kekangan kewangan atau tidak ada orang menjaga tetapi bukan kerana sakit bersalin atau takut akan mati semasa bersalin.
Dan biasanya, selepas dua atau tiga tahun, si ibu kembali teringin untuk mengandung lagi. Kalaulah Allah tidak memberi nikmatnya melahirkan anak, akan pupus manusia ini. Sakitnya...subhanallah.
__________________________________________________________________________________________

SEBUAH KENANGAN
Dari matamu
Kutemui gelora
Pabila pandangan bersatu
Di hujung rindu

Dari bibirmu
Ada getar melanda
Pabila embun bertukar salju
Di anjung kasih hati menyapa

Cairlah derita kala hati sengsara
Saat mata dan bibir tunduk berkata
Dalam kelam cahaya terdengar detak jantungmu
Bertaut kencang tak pernah reda

Berlabuhlah sebuah memori
Terdampar kenangan di pelabuhan sepi

RAHMAH MS
081014
9.00 MALAM RABU
SERI GOMBAK
__________________________________________________________________________________________
8 OKTOBER 2014
Satu perkara yang saya paling malu untuk minta ialah gaji. Saya tidak letak harga. Terpulanglah kepada majikan berapa yang dia hendak beri mengikut kemahiran saya dan skim gaji organisasi tersebut. Mungkin saya tidak ada tanggungan, maka saya menganggap kerja hanya suka-suka.
Ketika saya bekerja di sebuah organisasi kerajaan secara kontrak, saya diberi elaun RM800 sebulan. Sebagai suri rumah, dan sudah lama tidak memegang duit, saya sangat gembira. Saya bagaikan kemaruk kerja, apa saja saya buat. Ketika bekerja di sinilah terbuka jalan bagi untuk menerbitkan majalah sendiri.
Walaupun, pada peringkat mulanya saya sangat gembira dengan elaun tersebut, tetapi lama kelamaan wang itu tidak bererti lagi, apabila beberapa perkara yang memberi kepuasan kepada saya, tidak tercapai. Saya berhenti dan membuka syarikat sendiri.

Bekerja bagi saya, bukan gaji saja yang penting. Saya melihat apa yang organisasi itu boleh beri kepada saya , misalnya memberi peluang untuk pekerja mencungkil bakatnya, memberi peluang kepada pekerja mencuba sesuatu yang baru, memberi kepercayaan kepada pekerja menggalas tanggung jawab , hala tuju dan misi syarikat yang murni dan beberapa faktor lagi yang dapat membantu pekerja tersebut menggunakan potensi dirinya semaksimum mungkin.
Dan apabila saya merasa yakin dengan kebolehan diri, saya akan bertemu dengan majikan dan meminta gaji yang setimpal dengan apa yang boleh saya berikan kepada syarikat. Jika syarikat merasakan memang wajar, alhamdulillah, tetapi jika tidak, saya akan ucapkan selamat tinggal....

__________________________________________________________________________________________

12 Oktober 2014
Melihat kawan ini, saya rasa syukur yang amat sangat, dikurniakan kesihatan yang baik. Kami berjiran 4,5 pintu tetapi jarang berjumpa kecuali ada sesuatu majlis. Teakhir saya bertemunya mungkin dua tahun yang lalu ketika saya menziarahinya. Dia pengidap kanser payu dara yang kronik tetapi Allah masih panjangkan usianya. Malah musim haji sebelum ini, dia pergi menunaikan haji walaupun katanya, dia dimasukkan ke hospital di sana.

Semalam saya bertemunya, rasa sangat belas, jalannya sangat lemah dan penglihatannya kabur. Dia kata, keadaan kanser itu sudah menganggu fungsi otaknya menyebabkan kakinya lemah dan penglihatannya kabur. Namun dia keliahtan ceria dan boleh menghadiri majlis perkahwinan anak jiran kami.

Kawan saya ini dulu bekerja di bank dan sebaik bersara baru dia sedar dia mengidap kanser. Memang dia perasan semacam ada benjolan di payu daranya tetapi mengambil mudah kerana sibuk dengan tugas. Rawatan kanser melibatkan kos yang tinggi dan dia merasa ralat kerana tidak mengambil peluang semasa bertugas dulu.

Apa jenis kanser pun boleh dirawat jika di peringkat awal. Selalu-selalulah perhatikan tanda-tanda awal pada tubuh sendiri misalnya batuk yang berterusan, pendarahan, sembelit, sakit ketika kencing, ada cecair bila puting susu di picit, ada benjolan, demam berterusan, lemah berterusandan dapatkan pemeriksaan.

Pemeriksaan di hospital memakan masa sebelum disahkan benar-benar kanser. Bersabarlah dengan prosedur ini kerana ia sangat berbaloi. Ramai pengidap kanser selamat.

__________________________________________________________________________________________

GURINDAM NASIHAT


Pabila muda rebutlah peluang
Datangnya sekali lambat kan hilang
Pabila tua sentiasa beringat
Tambah amal usia kian singkat
Pabila kaya janganlah lupa
Berbanyak sedekah sebelum papa
Pabila miskin redalah selalu
Kan tiba masa senang untukmu
Pabila bijak merendahlah diri
Ilmu yang sedikit milik Illahi
Pabila cantik jangan alpa
Rupa paras pinjaman belaka
Pabila sombong sentiasa muhasabah
Setinggi langit ke bumi kau rebah
Hidup kita saling mengingat
Nasihat menasihati beri manfaat
RAHMAH MS
121014
3.15 PETANG AHAD

__________________________________________________________________________________________
12 Oktober 2014
Selepas membeli ikan atau selepas menyidai kain, saya akan cepat-cepat masuk ke dalam rumah, takut terperangkap dengan sembang pagi di tepi jalan atau di tepi pagar. Saya perlu memasak, membasuh kain dan mengemas rumah. Saya pun sangat takut kalau ada kawan bertelefon dan sukar nak putuskan perbualan itu.

Saya fikir, asyik sungguh mereka ini berbual, sehingga terlupa tugas hakiki' apabila anak balik sekolah pun mereka belum habis memasak. Saya perlukan masa untuk menulis atau membuat kerja-kerja lain.

Itu cerita dulu, cerita 20 atau 30 tahun dulu. Sekarang saya pun sama juga, berjam-jam di fb, kadang-kadang lupa makan. Itulah jangan mengata orang, satu hari saya akan tahu juga betapa asyiknya dapat berbual itu, walaupun hanya di alam maya
( Masih boleh dimaafkan kerana saya tidak ada tangg
ungan lagi).

Itu cerita dulu, cerita 20 atau 30 tahun dulu. Sekarang saya pun sama juga, berjam-jam di fb, kadang-kadang lupa makan. Itulah jangan mengata orang, satu hari saya akan tahu juga betapa asyiknya dapat berbual itu, walaupun hanya di alam maya
( Masih boleh dimaafkan kerana saya tidak ada tanggungan lagi).

__________________________________________________________________________________________

10 Oktober 2014

Para penerbit filem atau mereka yang menjadi pembekal kepada stesen-stesen TV juga usahawan kerana mereka perlu mengaji pekerja, tetapi sayang ada yang tidak dapat melihat mereka sebagai usahawan. Mereka tidak mendapat peluang yang sama rata dari orang yang berkuasa mengagihkan rezeki berbanding pengusaha kerepek atau biskut, yang dibantu oleh kementerian yang berkaitan untuk meluaskan pasaran produk mereka keluar negara.

Ada syarikat-syarikat yang mendapat peluang bertahun-tahun dengan program yang sama ditayang setiap minggu, ada yang mendapat peluang siaran beratus jam dan ada yang tidak ada langsung.

Secara umum, untuk melihat betapa peluang ini menentukan kaya atau miskinnya seseorang penerbit itu, jika anda melihat sebuah telemovie di TV itu , imbuhan yang diperolehinya itu sekitar RM100,000.00, jika asyik telemovie itu dari syarikat berkenaan saja , berapa banyak yang dia dapat setahun. Ini yang paling murah, jika berepisod 13, 26, berkepuklah bayarannya, begitu juga dengan majalah dan dokumentari. Memang bayaran yang kerajaan berikan sangat berbaloi, tetapi tidak sama rata agihan rezekinya, menurut mereka yang sudah lama dalam bidang ini.

Setelah saya berada dalam dunia ini, walaupun masih baru, saya tidak hairan jika mereka menjadi kaya raya. Saya pun jika diberi peluang, akan jadi kaya raya, akan terkeluarlah seorang rakyatnya dari kelompok miskin bandar. Penerbit yang senasib dengan saya, tidak memerlukan banyak, setahun satu pun sudah memadai daripada tidak ada langsung, selesa jika dua projek setahun.

Dasar kerajaan sangat baik cuma dalam membantu penerbit ini menghasilkan produk-produk yang bermutu, mereka juga adalah usahawan yang perlu membayar gaji, sewa pejabat , equipment dan pelbagai lagi. Mereka perlu dibantu.dengan memberi projek sekurang-kurangnya satu setahun, pembekal yang favourite bolehlah diberi tiga atau empat setahun. Jika produk mereka tidak mencapai tahap yang dikehendaki, pihak berkenaan, wajar memberi kursus agar mereka setanding dengan syarikat lain.

Dengan cara ini, usahawan dapat dibantu untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Semua usahawan ini boleh menghasilkan produk yang bagus, kerana mereka yang mendapat peluang pun tidaklah bertaraf A kualitinya, pada pandangan saya.

Dalam meneruskan hidup ini, saya dan rakan-rakan senasib, tidak memerlukan ikan. Berilah kami kail atau pukat, kerana kami mahir menangkap ikan sendiri.

__________________________________________________________________________________________
14 Oktober 2014
Ada idea tetapi tiada jiwa hendak menulis. Kadang-kadang begitulah, keadaannya. Tulisan yang tiada jiwa akan terasa hambar dan tidak mendatangkan kepuasan kepada penulisnya, terasa ada yang tersangkut-sangkut dalam diri.
Idea? Tiada masalah, macam-macam boleh tulis. Semua yang dipandang, didengar, dibaca boleh memberi idea. Apabila idea dan jiwa bersatu, itulah saat yang sangat berharga. Malam ini jiwa saya tidak datang....selamat malam.
__________________________________________________________________________________________


No comments:

Post a Comment