Thursday 16 October 2014

PUISI PUTRIKU DAN AKIDAH SEORANG CUCU

Sebuah Puisi mampu memberi kesan dihati sanubari pembacanya. Malah ada puisi yang mampu menggamit nostalgia sepanjang hayat kepada insan-insan yang ada kaitan dengan penulisnya.


Puisi yang ditinggalkan oleh Putri Akhi dan isteri akhi Tengku Sabariah juga sampai sekarang ini masih lagi mampu membuat kami mengalirkan airmata apabila membaca dan menghayatinya. Puisi yang dihasilkan oleh arwah putri akhi, Puput Chandradewi sewaktu dia sakit itu ada unsur-unsur yang amat berharga didalamnya.

Setelah dia pergi buat selama-lamanya, akhi baru perasan bahawa puisi itu mengandungi bait-bait yang amat menyentuh jiwa dan berupa kata nasihat yang amat berharga. Hayatilah puisi yang dihasilkannya itu yang akhi tampilkan dibawah ini, akhi percaya sahabat semua akan terkedu kerana penulisnya waktu menghasilkan puisi itu sedang bergelut dengan kesakitan yang amat sangat. Sakitnya tidak dapat dikesan oleh doktor dan tidak pula mampu dirawat dengan menggunakan rawatan alternatif, walau menurut yang merawat itu, putri akhi itu dikatakan mengidap pelbagai penyakit dan mereka mendakwa mereka mampu merawat dan mengubatinya tetapi akhirnya 3 bulan setelah berjuang melawan penyakitnya itu, putri akhi telahpun dijemput pergi pada 17 Ramadan 1433 bersamaan dengan 15 Ogos 2011. 





Pada ketika itu umat Islam sedang melakukan ibadah puasa, Akhi menerima panggilan dari Medan, berita mengejutkan akhi terima.... dia, putri kami Puput Chandradewi sudah pergi buat selama-lamanya.

Bila berita sedih ini akhi sampaikan kepada isteri Akhi, Tengku Sabariah... dia hampir tidak sedarkan diri. Waktu itu isteri Akhi sebenarnya sedang kepenatan kerana sebagai tukang jahit dia sibuk dengan tempahan untuk hariraya.... dan dengan wang yang ada, dia (isteri akhi) berangkat pulang ke kampungnya di Pinang Baris Medan... Akhi tak dapat bersamanya kerana terlalu uzur waktu itu, lagi pun perbelanjaan pun tidak mencukupi....

Cucu Akhi, Amelia, 10 tahun
Satu lagi masaalah timbul, anak arwah putri akhi Amelia tak ada siapa yang hendak memeliharanya. Bekas suami putri akhi itu seorang mualaf (keturunan cina) telah kembali agama asalnya kerana ayahnya memberi kata dua, kalau dia masih lagi mau bertahan dalam Islam, dia akan kehilangan hak terhadap harta-harta keluarga yang kebetulannya memang banyak. Oleh kerana iman yang belum kukuh dia akhirnya kecundang dengan pujukan ayah dan keluarganya. Dengan sebab suami putri akhi itu telah 
U-turn kembali ke agama asalnya maka secara otomatik terputuslah ikatan putri akhi dengan suaminya itu sebagai suami isteri.

Anak yang ditinggalkan menjadi masalah dari segi akidah kalau dia di pelihara oleh ayahnya (yakni bekas suami putri akhi). Keluarga akhi dan isteri sependapat bahawa kalau cucu akhi itu dibiarkan tinggal dengan ayahnya, yang sudah mengamalkan budaya agama asalnya sudah pasti akidah Islamnya tidak akan terjamin maka kata sepakat yang diambil adalah cucu akhi itu harus dipelihara oleh kami suami isteri, sebagai satu jaminan agar akidahnya akan tetap kekal dalam Islam. Ini beerti Amelia (nama cucu akhi) mesti dibawa ke Malaysia dan tinggal bersama akhi. Dan kenalah disekolahkan di Malaysia. Akhi suami isteri terpaksa setuju kerana sebagai seorang Islam adalah kewajiban akhi dan isteri untuk membawa dan mengambil cucu akhi itu demi mempertahankan akidahnya.

Setelah kesepakatan dibuat maka usaha pun dimulakan. Pertamanya, bekas menantu ditemui, seperti yang diduga ia tidak bersetuju anaknya dibawa ke Malaysia dan dia mahu memelihara anaknya itu. Perkara itu tentu sahaja mendapat bantahan dari keluarga kami disana. Setelah sepakat usaha alternatif terpaksa dicari tetapi dijangka belanjanya amat besar sekali. 


Apa yang terpaksa akhi lakukan ada mencari ikhtiar lain di Malaysia untuk mendapatkan dana demi menyelamatkan akidah cucu yang merupakan zuriat cucu akhi yang tidak sama sekali diperjudikan walaupun terpaksa menghadapi cabaran yang besar, oleh kerana waktu itu akhi tidak mampu bergerak pantas kerana baru saja mengalami stroke dan terbaring hampir setahun dan tidak lagi mampu menguruskan wa’ima diri sendiri pun, apatah lagi untuk mencari rezeki.

Apa yang akhi terpaksa lakukan adalah dengan berunding dengan beberapa rakan terdekat untuk mendapatkan dana dan Alhamdullillah dengan usaha bersama itu, akhirnya hampir RM5,000 dapat dipungut. Tetapi jumlah itu tidak mencukupi keperluan untuk melengkapkan usaha membawa cucu akhi itu ke Malaysia, sebanyak RM1500 lagi terpaksa dicari. 

Dalam keadaan yang agak terdesak Akhi memohon langsung dari sahabat Akhi Puan Rosshadah untuk membantu dan akhirnya inisiatif Puan Rosshadah Abdullah dan Saudara Wankamar Wanabdullah wang itu telah berjaya di kumpul untuk membawa cucu akhi ke Malaysia. Itupun masa yang diambil untuk pengurusan di pihak pemerintah Indonesia di Medan dan Kedutaan Malaysia disana mengambil masa hampir 3 bulan.

Dan akhirnya pada 2 Mac 2012 cucu akhi dapat sampai ke Malaysia, dan pada 3 Mac 2012 Amelia telah dapat hadir dalam Pertemuan Kedua Grup 1001 Macam di Semenyeh di rumah Puan Rosshadah Abdullah. Akhi bersyukur kerana usaha membawa Amelia ke Malaysia yang juga turut menyelamatkan akidahnya telahpun selesai dangan jaya. Alhamdulillah.

Bila sampai di Malaysia masaalah persekolahan pulak timbul dan selama 2 tahun tak bersekolah kerana masalah dia (Amelia) sebagai warganegara Indonesia menjadikan usaha menyekolahkannya terbantut, termasuk akhi ditipu oleh seorang kenalan yang mendakwa boleh menguruskan visa pelajar yang menghilang dengan pasport serta dokumen penting hampir setahun. Usaha untuk menyekolah cucu akhi terbantut hinggalah pada awal 2014 barulah akhi berjaya sekolahkannya di Sri Gombak, Selangor, setelah pasport dan dokumennya dapat ditemui.


Hari Kedua Amelia di Malaysia bersama di Pertemuan Kedua
Grup FB 1001 Macam di rumah Puan Rosshadah @Semenyeh
Bagaimanapun penglibatan sahabat-sahabat dari Grup 1001 Macam (kemudian sebagai Terminal Pusaka dan kini Seroja) yang di terajui oleh Tok Limbat dan Grup Seloka Pantun yang diterajui oleh Pak Leh @Mosbi Ismail sangat-sangat akhi hargai.
Selain puisi yang menjadi kenangan, akhi juga bersyukur kerana ditinggalkan oleh arwah, zuriatnya yang menjadi tanggung-jawab akhi untuk membesar dan mendidiknya.... Itu adalah amanah paling berat untuk akhi pikul dalam usia yang sudah diambang senja ini....

Dengan doa dari sahabat handai, akan akhi rempoh apa saja cabaran yang mendatang untuk mendidik dan membesarkan zuriat putri kami itu agar akan menjadi seorang anak yang solehah dan berguna pada suatu masa nanti... Inshaa Allah.

Memey nama manja cucu akhi sekarang belajar di sekolah Sri Al Abqari  di Sri Gombak. Untuk membiayai persekolahannya itu akhi terpaksa berusaha keras, kerana memerlukan hampir RM400 sebulan untuk yuran persekolahan, tambang dan belanja hariannya. Tetapi untuk seorang anak yatim sepertinya pasti akan ada jalan yang ditentukan Allah SWT. Akhi juga akan berusaha untuk mencari dana bagi membantu persekolahannya.

Untuk tujuan diatas, akhi harap sahabat-sahabat semua sudi mendoakan agar akhi akan menemui jalan terbaik untuk terus memberikan pendidikan kepada Amelia.

Sebagai penghargaan, akhi ingin merakamkan ucapan terimakasih kepada sahabat-sahabat yang membantu hingga akhi berjaya membawa Amelia atau panggilan manjanya Memey ke Malaysia. Sahabat-sahabat FB yang masih akhi ingat adalah Ulfah Nusrah, Selok Kero dan isterinya Siti Norisma, Maya Maisara, Zainab Musa dan suami, Saifuzzaman Aman Gado-Gado dan isteri, Rosshadah Abdullah, Wankamar Wanabdullah, Mosbi Ismail, Pucuk Kalumpang, Rohaini Mohammad Lani, Nora Hashimah, Pak Mael, Kamarol Baharin KB Ahmad dan Isteri  dan lain-lain...

Dan nama-nama mereka yang tidak akhi sebutkan disini satu persatu akhi mohon berbanyak-banyak maaf.... dan akhi hanya mampu mendoakan agar mereka yang telah menghulurkan bantuan samaada wang ringgit, doa dan kata-kata semangat mendapat ganjaran sewajarnya dari Allah SWT.

No comments:

Post a Comment