Friday 5 December 2014

Hasilkan Produk Dari Idea Perniagaan yang Sudah Wujud? Kenapa Tidak...

PAUL B. BROWN
Kita dapat menulis atau melakar idea-idea yang muncul dalam kepala kita di atas selembar kertas kosong. Tetapi, kalau boleh jangan terapkan amalan ini dalam mencari idea untuk sesuatu produk perniagaan. Mengapa?

Paul B. Brown, penyumbang artikel Forbes.com, menyarankan supaya kita mulakan dengan mencari idea yang dapat menyelesaikan sesuatu masalah atau mengembangkan sesuatu idea yang sudah sedia ada.

Ramai yang berpendapat bahawa mencari idea untuk sebuah produk berdasarkan keperluan pelanggan yang sedia ada adalah bertentangan dengan naluri (counter-intuitive).

Brown mengatakan bahawa ramai yang mempersoalkan: “Bukankah seharusnya kita mulakan dengan suatu idea yang mengagumkan, secara idealnya idea yang unik?”

Menurut Brown “tidak”. Alasan yang pertama, beliau percaya bahawa setiap orang dapat menghasilkan idea yang menarik atas kreativiti masing-masing, tetapi kreativiti yang tidak mendatangkan keuntungan tiada bezanya dengan mempunyai suatu hobi.

Alasan pertama ini berkaitan dengan alasan yang kedua iaitu, memulakan idea baru sangat tidak efisien kerana kita tidak dapat melakukan banyak perkara dengan idea tersebut. Mungkin ia tidak praktikal. Ada juga yang memerlukan pelaburan yang tinggi untuk direalisasikan.

Alasan terakhirnya, jika kita memulakan idea daripada selembar kertas kosong dan berjaya mendapat idea baru, maka kita harus melakukan kajian tentang berapa ramai orang yang memerlukan produk tersebut. Oleh yang demikian, idea baru memerlukan kos tinggi dan memakan banyak masa.

Atas alasan-alasan tersebut, maka jika boleh jangan hasilkan sesuatu produk berdasarkan idea baru. Menurut Brown, mencuba idea yang berdasarkan masalah atau keperluan yang telah teruji adalah lebih efisien. Mengapa?
Pertama. Kita tak perlu membuang banyak masa untuk memperkenalkan bisnes kita. Sebagai contoh, kamera Polaroid. Walaupun akhirnya ia berjaya, tetapi penjualan kamera ini memerlukan masa untuk difahami oleh pasaran. Adalah sukar untuk menjual kamera dengan filem yang khas. Pasaran lebih biasa dengan kamera digital masa kini, maka mereka perlu memahami apa itu Polaroid serta diyakinkan bahawa kamera ini dapat menghasilkan gambar foto yang unik.
Kedua. Dengan membuat produk daripada idea yang berdasarkan masalah atau keperluan yang sedia ada, kita tidak perlu mencari pasaran. Ciptakan produk atau perkhidmatan yang sememangnya diperlukan oleh pelanggan. Tidak perlulah membuang masa untuk mencari pelanggan.

Akhir sekali, kita boleh bertindak lebih pantas. Perkara-perkara yang perlu kita lakukan mempunyai tujuan yang jelas. Kita cuba untuk menangani masalah spesifik yang dihadapi oleh pelanggan melalui produk kita dan dengan itu kita mampu memperkembangkan bisnes dengan lebih mudah.

Cuba hasilkan produk berdasarkan masalah pelanggan yang sedia ada. Apa pendapat anda?
Artikel ini disiarkan di: http://www.usahawan.com