Thursday 1 November 2018

HIDUP TANPA KOMPUTER

Sudah bertahun-tahun hidup aku di warnai oleh sebuah komputer. Tetapi tiba-tiba diwaktu aku nak memulakan peniagaan dengan membuka sebuah pejabat kecil di bilik belakang Busanaria, sebuah kedai jahit milik isteriku, tiba-tiba komputer ku rosak. Dalam keadaan aku betul-betul 'kering' dan baru sahaja membeli sebuah printer juga kerana rosak 'headnya' dan tidak bisa digunakan lagi kini aku berhadapan dengan kerosakan komputer pula.  Memang pening..... minggu lepas ketika printer rosak, mujur la Dato' Amnah bantu sebanyak RM200.00, dan aku tambah sebanyak RM299.00 sahaja lagi maka dapatlah aku memiliki  sebuah printer menggantikan printer lama, yang sudah hampir 16 tahun aku gunakan. Begitu juga dengan komputer yang dah hampir 13 tahun usianya tiba-tiba 'chipsetnya' rosak. Kalau nak gantikan chipset taklah berapa mahal tetapi masaalahnya komputer ku itu model lama, kata anakku Fendi, yang arif tentang komputer. Sekarang sudah advance lagi katanya. Lagi pun usia komputer ku itu sudah dikira terlalu lama, kerana aku membelinya pun adalah komputer secondhand, sebelum aku kena stroke kira-kira 13 tahun lalu. 

Memang komputer itu banyak jasanya, malah sejak aku bergerak cergas dalam Pergerakan Reformasi, itulah komputer yang menjadi temanku dalam mencatatkan banyak peristiwa penting serta dalam menjalankan kerja-kerja reformis yang aku menjadi salah seorang yang bergerak aktif, bersama-sama rakan-rakan reformis yang lain.

Tiba-tiba ianya rosak, perniagaan yang baru bermula juga memerlukan modal. Ke mana harus aku mengadu. Lantas teringat aku kepada seorang YB...  melalui WhatsApp aku menghantar mesej meminta bantuan kepadanya tetapi hampir seminggu tiada reaksi darinya. Dia dah membaca mesej dari ku itu tetapi adakah dia keberatan untuk membantu atau terlalu sibukkah dia?. Walaupun selama ini, dia ada membantu ku sekiranya ada permintaan dari aku mengenai gerakkerja yang menyangkut dengan perjuangan reformasi. Tetapi kali ini walau pun aku yakin bahawa dia akan dapat membantu tetapi aku hampa kerana tiada reaksi darinya. Dan teruslah aku dengan ketiadaan komputer. Memang sangat tertekan sebenarnya tetapi terpaksalah aku bersabar sedangkan masih ada kerja yang teramat mustahak terpaksa dilakukan. Pada masa ketiadaan komputer itu, aku hanya membuat catatan menggunakan tulisan tangan. Oleh kerana sejak lepas sekolah aku sudah mula menggunakan komputer maka menggunakan tulisan tangan agak kekok sedikit dan aliran pikirku yang agak laju tidak dapat memberikan catatan yang baik ketika menulis tangan. Berbeza menggunakan komputer rasanya lebih tepat dan sama dengan lajunya perjalanan otakku. Pada waktu yang sama kedai juga sudah sampai masanya untuk dibayar sedangkan rumah sewa ku hanya telah ku bayar separuh lebih sedikit. Mau tak mau, aku dahulukan sewa kedai ku, itu pun tak sepenuhnya, hanya separuh sahaja dapat ku bayar dan aku berjanji kepada tuan kedaiku bahawa bakinya akan ku bayar dalam masa dua tiga hari lagi sedangkan aku tidak pasti dari sumber mana akan ku dapatkan duit sewa itu. 

Hampir seminggu lebih aku tiada komputer. Tetapi aku hanya dapat menggunakan komputer apabila rakan-rakan dari rumahpangsa tempat aku tinggal ini memerlukan aku untuk membuat surat rayuan ketika lif rumahpangsa ini rosak, bukan sekali tapi hampir setiap hari. Oleh kerana aku sendiri pun akan terpaksa menapak menaiki tangga, serta kesian kepada penghuni-penghuni (ada antaranya sudah berusia dan uzur) di flat yang sama maka terpaksa jugalah aku membantu tuliskan surat kepada YB. Zuraidah memohon agar lif-lif di flat ini diganti. Dan kebetulan kebanyakan kawan-kawan di flat ini tau bahawa aku boleh membuat surat untuk dihantar kepada Ahli Parlimen Ampang itu maka terpaksa-lah aku membantu bila mereka meminta tolong. Hampir 5 jam aku menyiapkan surat dan yang akhirnya penghuni-penghuni terpaksa turunkan tandatangan sebagai tanda bersetuju untuk permohonan itu dibuat. 

Dilema untuk mendapatkan sebuah komputer masih berterusan, aku akhir terfikir meminta pertolongan dari Tuan Haji Aziz Jalal, Penyelaras Parti Amanah Negara DUN Gombak Setia sebanyak RM1K, agak lama juga aku cuba mendapatkan reaksi darinya. Tetapi oleh kerana aku tahu bahawa dia amat sibuk kerana tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Ampang Jaya maka aku bersabar saja lah..... Aku faham setiap hari ada saja tugasan dan aktiviti yang beliau jalankan kerana dia benar-benar aktif orangnya. 

Nak beli komputer terpakai harganya paling murah pun RM600, ada juga lebih mrurah dari harga itu tetapi fungsi & spesifikasinya tidaklah sampai ke tahap yang diperlukan untuk kerja-kerja yang akan aku laksanakan.

Sementara itu sewa kedai dan sewa rumah masih belum ku lunaskan lagi. Seorang sahabat Saudara Radzi yang juga rakan-kongsi perniagaan ku tiba-tiba menghulurkan RM200, Alhamdullillah. Dengan wang yang ada ditangan maka dapatlah aku membayar baki sewa kedai. 


Sekali lagi aku memberi mesej melalui WhatsApp memohon bantuan dari Tuan Haji Aziz Jalal, 2 hari lamanya aku menunggu, akhirnya dia memberitahu bahawa dia dah pun transfer RM500 ke akaun yang aku beri. Alhamdullillah. Memang pening tapi aku berazam wang yang di beri oleh Tuan Haji Aziz itu akan ku simpan sehingga cukup untuk sebuah komputer di beli. Akhirnya dengan duit dari hasil jahitan, aku TopUp sebanyak RM150 menjadi RM650 maka sampailah aku ke Imbi Plaza di Bukit Bintang untuk aku mendapatkan sebuah komputer terpakai. Cari punya cari, aku terus mendapatkan sebuah komputer (berdasarkan kepada spesifikasi yang dikatakan oleh anak ku bahawa komputer itu sesuai  kerja-kerja yang akan aku lakukan) serta cukup dengan bajet yang aku ada ditangan, tawar punya tawar akhirnya sangkut dengan harga RM590. Alhamdullillah.




Jadi, kesimpulannya hidup tanpa komputer, terutama bila banyak yang ingin dibuat.... menjadikan kita rimas dan resah. Itulah aku. Dan aku mengucapkan setinggi terimakasih kepada Tuan Haji Aziz Jalal, Dato' Amnah Daud serta sahabatku Radzi Jumairi yang sudi membantu aku dalam menangani masaalah aku yang kurang upaya ini.

No comments:

Post a Comment