Thursday 18 February 2016

‘Hanya Anwar sebagai PM mampu kembalikan maruah Malaysia’


'Hanya Anwar sebagai PM mampu kembalikan maruah Malaysia'
Veteran politik Dr Syed Husin Ali tegas mengatakan hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ‘disimpan’ di Penjara Sungai Buloh satu-satunya tokoh yang mampu mengembalikan maruah Malaysia dalam masa singkat di mata dunia.
Tokoh politik sejak 1950an yang pernah menjadi pensyarah Anwar ketika ikon berkenaan menuntut di Universiti Malaya itu yakin anak didiknya mempunyai kebolehan tersendiri mengubat pelbagai jenis skandal yang menjejaskan reputasi negara sejak dua dekad lalu.
“Saya percaya dia boleh. Susah, tetapi dia boleh.
“Susah sebab keadaan sekarang terlalu teruk. Boleh, sebab itu adalah kebolehan dia. Saya rasa dia sudah menghadam betul-betul masalah-masalah yang dihadapi oleh negara,” kata beliau dalam satu temubual bersama SK.
Ketika ditanya daripada pengalaman politik yang panjang, waktu manakah Malaysia pernah mempunyai detik-detik terbaik dalam sejarah selepas merdeka, Syed Husin tidak melihat negara ini pernah mempunyai period yang boleh dibanggakan sebagai negara demokrasi.
Katanya, detik tersebut pernah muncul tetapi tidak sempurna dan kemudian dibinasakan oleh pemerintah yang mahu terus berkuasa secara menekan rakyat.
“Sebenarnya selepas baru merdeka ada sinar-sinar harapan. Misalnya dari segi sastera, Asas 50, ada perkembangan idea-idea yang tidak serupa dengan apa yang kita nampak sekarang ini.
“Dari segi kebudayaan pun banyak pemikiran, persidangan dan perbincangan. Pada waktu itu juga orang membincangkan soal pendidikan dan soal ekonomi, tapi lama kelamaan ia merosot.
“Masa mula-mula Mahathir naik dulu (1981), kita mengharapkan satu perubahan kerana dia menjanjikan perubahan. Tapi lepas itu kebebasan makin disekat. Jadi sinar-sinar harapan itu hanya sekejap. Tapi yang saya lihat keadaan terburuknya adalah sekarang. Soal kaum makin teruk, soal agama makin sempit, soal korupsi makin teruk.
“Pemimpin tidak bertanggungjawab, di negara lain pemimpin akan bunuh diri disebabkan masalah tersebut (tuduhan derma politik). Akhbar antarabangsa menghentam Najib mengatakan dia tidak berguna. Dia Menteri Kewangan terburuk di Asia, dan beliau (Najib) hendak menyaman WSJ terhadap tuduhan 1MDB tapi sampai sekarang tidak disaman.
“Ertinya, kita mempunyai seorang pemimpin yang korup, yang tidak memberikan kebebasan kepada rakyat,” kata Syed Husin.
Syed juga menganggap skandal derma RM2.6 bilion sebagai melucukan dan tidak selayaknya berlaku dalam negara yang kononnya mahu mengejar status negara maju pada 2020.
“Bayangkan RM2.6 bilion masuk ke akaun sendiri dan dikatakan duit itu adalah duit derma
“Pada mulanya diberitahu derma itu untuk parti, selepas itu untuk pilihan raya, kemudian dia kata digunakan untuk melawan keganasan (IS), tapi baru-baru ini AG (Peguam Negara) berkata RM2 bilion sudah dipulangkan
“Mana ada orang dapat duit derma hendak pulangkan balik. Sekarang perkara itu (skandal pemindahan wang) disiasat di Hong Kong, Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat dan juga England.
“Jadi bila kita disiasat sebegitu rupa, mesti kita malu, tapi dia (Najib) masih lagi dengan cara dia,” kata Syed Husin sinis.

No comments:

Post a Comment